Monday, May 5, 2014

Sindrom Ghairah Rebut Jawatan Jadikan Pemilihan PKR Tunggang Langgang

KOTA KINALABALU,  5 Mei – Pergolakan serta huru hara yang melanda pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang  kini sedang berlansung memperlihatkan sistem pentadbiran parti yang caca merba dan tidak tersusun, sehingga menyebabkan proses pemilihan kepimpinan parti tersebut terganggu dan kecoh di seluruh negara, demikian jelas Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, sejak bermulanya pemilihan PKR seminggu yang lalu,  ada saja cerita tentang ketidakpuasan hati setiap hari yang  menjurus kepada perebutan jawatan di pelbagai peringkat parti tersebut.

“Seperti yang kita tahu, terbaru ini di Sungai Petani, Kedah,  proses pengundian bagi pemilihan pemimpin PKR kawasan itu terpaksa ditangguhkan, selepas nama seorang calon yang bertanding  jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani `lesap’ dan lawannya diisytiharkan menang tanpa bertanding.

“Pelik juga bagaimana nama calon boleh lesap begitu saja. Sebelum itu pula, proses pemilihan PKR Cabang Batang Sadong, Sarawak turut dipertikai dan keputusannya terpaksa dibatalkan berikutan timbul dakwaan berlaku kegiatan manipulasi undi semasa bekalan elektrik terputus di tempat mengundi,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi jawatan tertinggi, khususnya Timbalan Presiden yang menjadi tumpuan ramai,  sama ada dalam PKR sendiri, dalam sekutu Pakatan Pembangkang mahupun penganalisaan politik dan masyarakat netizen, turut dipertikaikan kerana  ada dakwaan daripada ahli mereka sendiri yang mengatakan berlaku kegiatan manipulasi undi.

“Sebagai orang politik, saya turut mengikuti perkembangan yang berlaku dalam PKR. Bagi saya, pergolakan yang berlaku ini semuanya menjurus kepada keinginan mendapat jawatan, tempat dan kedudukan.

“Apa yang nyata bagi saya, ahli dan kepimpinan PKR kini dilanda sindrom mengejar jawatan, untuk dijadikan `tiket’ mencapai kedudukan. Sebagai contoh kita lihat persaingan antara Azmin dan Khalid. Ia bukan rahsia lagi. Kedua-dua mahu mengejar jawatan Nombor Dua dalam parti kerana ia menjadi `lesen besar’  untuk mendapat kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor.”

“Segala caca merba dan huru hara yang berlaku di dalam proses pemilihan parti PKR ini juga adalah disebabkan oleh kegagalan dan kewibawaan kepimpinan tertinggi PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau telah gagal untuk memastikan PKR menjadi sebuah organisasi politik yang tersusun dan profesional, sebaliknya budaya kronisme dan nepotisme yang dibawanya ke dalam parti telah menyebabkan PKR semakin kucar kacir dan huru hara.

“Justeru saya minta kepada kepimpinan PKR agar perbaiki dulu kelemahan diri sendiri sebelum mendakwa parti mereka itu lebih baik dari parti-parti lain, khususnya UMNO. Kepada rakyat pula, apakah kita mahu meletakkan harapan kepada mereka ini untuk mentadbir negara menjadi lebih baik dari apa yang kita ada sekarang ini, sedangkan pentadbiran parti yang kecik itu pun tidak mampu mereka tadbir dengan baik?,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment