Sunday, May 18, 2014

Perjanjian penting perkukuh hubungan

Aturcara rasmi pertama Datuk Seri Najib Tun Razak di Abu Dhabi menyaksikan Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian kerjasama yang akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

            

Yang menjadi tumpuan utama ialah pemeteraian perjanjian antara Malaysia dan UAE untuk membangunkan kompleks masjid di Bandar Malaysia, Sungai Besi, kerjasama sebagai menghargai hubungan dua hala yang kukuh dan lama terjalin antara kedua-dua negara.

Perjanjian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Waqaf (AWQAF) UAE juga membuka jalan bagi penubuhan pusat pembelajaran dan Pusat Permata bagi kanak-kanak berbakat di kawasan sekitar.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman dan Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei dengan disaksikan Perdana Menteri dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Mushrif.

"Ini satu hadiah yang memberi inspirasi kerana Masjid Agung Sheikh Zayed memupuk konsep toleransi dan persefahaman bersama ke arah interaksi yang positif.

"Sesungguhnya, ini membuktikan hubungan kukuh yang terjalin antara Malaysia dan Abu Dhabi. Ia akan melalui fasa yang panjang ke arah memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat kita," kmenurut Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media Malaysia oleh 1MDB, hari ini.

Di bawah perjanjian itu, 1MDB, pemaju induk Bandar Malaysia, akan menyediakan tapak yang khusus bagi projek itu, dan AWQAF UAE akan membiayai pembangunan rekabentuk dan kerja-kerja pembinaan.

Bandar Malaysia merupakan projek pembangunan semula bandar membabitkan   tanah di lapangan terbang Sungai Besi lama bertujuan untuk memacu Greater KL sebagai pusat baharu pertumbuhan.

Ia juga adalah projek kembar Tun Razak Exchange (TRX), projek kerjasama bernilai RM18 bilion, yang dimeterai oleh 1MDB dan Aabar Investments PJS dari UAE, untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat global bagi perkhidmatan kewangan dan perdagangan antarabangsa.

Perjanjian itu, yang ditandatangani semasa lawatan Sheikh Mohamed pada Mac tahun lepas, juga menyaksikan pemeteraian projek berasingan bernilai RM21 bilion, bagi kemudahan menyimpan minyak dekat Tanjung Piai di Johor.

Hasil ilham  Masjid Agung Sheikh Zayed di Abu Dhabi, rekabentuk masjid meliputi pembinaan pusat pembelajaran Islam bercirikan teknologi dan sebuah Pusat Permata, hasil cetusan idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika mengulas mengenai kerjasama itu, Pengerusi Awqaf Dr Hamdan Mussalam Al Mazrouei berkata: "Kerjasama ini mencerminkan misi kita untuk memupuk toleransi dan kesedaran tentang ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan melalui pembangunan masjid dan pusat pendidikan.

"Memang menjadi hasrat kami untuk bekerjasama dengan 1MDB untuk menubuhkan sebuah pusat yang memenuhi keperluan masyarakat," kata beliau.

Masjid Agung Sheikh Zayed dibangunkan hasil nilai-nilai budaya dan nasional yang dipelihara dan dipupuk oleh Allahyarham Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan, yang menekankan prinsip hormat bersama, toleransi dan kewujudan bersama antara rakyat.

Yang kedua ialah MoU bagi kerjasama dalam aktiviti pelancongan antara Majlis Pelancongan dan Antikuiti Kebangsaan UAE dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,untuk meningkatkan lagi dan memupuk kerjasama dua hala dalam bidang pelancongan antara kedua-dua negara.

MoU itu dimeterai oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz dan Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan, Pengerusi Lembaga Pengarah Majlis Pelancongan dan Antikuiti Kebangsaan UAE.

UAE merupakan satu daripada pasaran pelancongan paling penting bagi Malaysia. Pada 2013, seramai 19,880 pelancong dari UAE melawat Malaysia berbanding 18,233 pelancong pada 2012, pertambahan sebanyak 9.3 peratus. 

Sebaliknya, UAE menjadi destinasi pelancongan bagi rakyat Malaysia. Pada 2013, seramai 19,830 rakyat Malaysia melawat UAE, pertambahan kecil 8.76 peratus daripada 18,233 yang dicatatkan pada 2012.

Susulan pemeteraian MoU itu, usaha baharu dalam aktiviti pelancongan dijangka menyusul antara Malaysia dan UAE, terutama melalui penyelidikan dan pembangunan program berkaitan pelancongan, latihan, bahan promosi dan publisiti, mesyuarat, konvensyen dan travel mart/pameran dan juga menggalakkan aktiviti ekonomi melalui pelancongan.

Satu lagi MoU yang dimeterai susulan pertemuan Najib dengan Putera Mahkota ialah berhubung dengan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi, yang ditandatangani antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik UAE dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pemeteraian MoU akan membuka jalan bagi meningkatkan kerjasama yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara termasuk membuka peluang bagi pertukaran kakitangan akademik, pertukaran biasiswa bagi melanjutkan pengajian dan menjalin hubungan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik UAE Sheikh Hamdan bin Mubarak Al Nahyan menandatangani MoU itu di Istana Mushrif di sini.

Sehingga Januari 2014, jumlah pelajar UAE yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia ialah 187 orang dengan 164 daripadanya menuntut di institusi swasta dan baki 23 pelajar di institusi awam.

Usaha Malaysia untuk menarik pelajar menampakkan proaktif dan jumlah pelajar dari Timur Tengah dan Afrika Utara telah meningkat, menurut kenyataan Wisma Putra.

Najib dijadual melawat Dubai, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Teramat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai.

No comments:

Post a Comment