Sunday, May 11, 2014

Kos Sara Hidup, Rasionalisasi Subsidi Terus Jadi Fokus Bajet 2015

 Usaha mengurangkan peningkatan kos sara hidup dan aspek rasionalisasi subsidi terus menjadi fokus utama kerajaan dalam menyediakan Bajet 2015, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt depan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata selain itu aspek baharu yang akan diberi penekanan ialah bidang keusahawanan.

Husni-Hanadzlah-Menteri-HASIL-LHDN-Cukai-GST-Ekonomi-Malaysia“Bagi kos sara hidup, yang utamanya adalah mengenai kenaikan harga, jadi kita akan lihat bagaimana usaha memperkukuhkan rantaian pembekalan dapat digerakkan,” katanya selepas merasmikan program mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2 di Manjoi di sini hari ini.

Beliau berkata tumpuan juga menghala kepada bagaimana kerajaan dapat melakukan penjimatan dengan inisiatif rasionalisasi subsidi supaya hasilnya akan dipindahkan kepada kumpulan sasaran.

Keusahawanan juga menjadi aspek baharu yang diberi tumpuan sejajar dengan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia MaGIC) yang dilancarkan baru-baru ini, katanya.

Ahmad Husni berkata bidang keusahawanan merupakan faktor penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyedari hal itu kerajaan mengorak langkah menubuhkan MaGIC.

“Tujuannya supaya bakat golongan muda ini diketengahkan. Kita tidak hanya melihat bidang keusahawanan di Malaysia hanya bergantung kepada pasaran domestik. Dari segi inovasi dan kreativiti kita sebenarnya kita mampu pergi ke peringkat global,” katanya.

Penubuhan MaGIC juga akan memperkemaskan lagi bidang keusahawanan di Negara ini termasuk mengangkat bakat usahawan muda serta menyediakan pelbagai latihan kepada bukan golongan usahawan, katanya.

Beliau berkata sesi perundingan bajet akan bermula pada 26 Mei ini dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

“Ia akan dihadiri kira-kira 400 orang wakil daripada sektor industri, perbankan dan pelbagai badan bukan kerajaan untuk membuat perbincangan pertama ke arah penyediaan Bajet 2015,” katanya.

Ia kemudian disusuli dengan perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan pelbagai pihak, dan bagi Bajet 2015 kementerian kini memperkenalkan pendekatan untuk mendapatkan input daripada kumpulan gender bagi memenuhi permintaan wakil rakyat, katanya.

Mengenai kehadiran pelancong dari China yang berkurangan ekoran tragedy kehilangan pesawat MH370, yang dilihat memberi kesan kepada sektor pelancongan sekaligus terhadap kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata Kementerian Pelancongan sudah pasti secara aktif menggerakkan promosi ke negara-negara lain.

“Kita akan tahu hasil (sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK) nanti daripada situ (usaha memperluas promosi pelancongan negara ke negara lain) sama ada kekurangan pelancong dari China dapat diisi oleh pelancong negara lain.

No comments:

Post a Comment