Thursday, May 22, 2014

menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘celaka’ ...???

Pergerakan Pemuda UMNO mengecam keras tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer yang mengaku tidak akan memohon maaf atas kenyataannya “pemimpin UMNO celaka” dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Selasa lepas.

Ketuanya Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai seorang Adun, Rayer secara terang menggunakan imuniti dengan mengeluarkan kata-kata kesat itu kerana mengetahui tidak akan dikenakan tindakan.

“Sebagai seorang wakil rakyat, tindakan dan keceluparan itu tidak harus dilakukan kerana rakyat boleh menilai integriti seseorang pemimpin,” katanya.

pemuda-umno-bn-khairy-ketua-kecam-rsn-rayer-melayu-celaka-rempuh-masuk-dewan-salah

Jelas Khairy, apa yang pelik wakil rakyat DAP itu tidak pula mahu mengulangi perkataan itu terhadap para pemimpin dan penyokong UMNO di luar DUN Pulau Pinang.

“Jadi, kita boleh simpulkan wakil rakyat itu gemar melakukan ‘keberanian terpilih’ atau bahasa mudahnya, seorang penakut,” tambah beliau.

Khairy berkata sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO beliau menyokong penuh tindakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang yang membantah tindakan Rayer.

Ia perlu terus dilakukan bagi memberi tekanan dan memastikan Rayer menarik balik kenyataannya itu, katanya.

“Kami cabar Rayer supaya mengulangi kata-kata kesat itu terhadap para pemimpin UMNO secara terbuka di luar dewan di hadapan kami,”  tambah beliau.

Pada masa yang sama, Khairy mengingatkan anggota Pemuda UMNO supaya mengikut landasan undang-undang dan tidak menceroboh sidang DUN atau membahayakan keselamatan awam dalam membuat sebarang bantahan.

Tindakan menceroboh Dewan (Undangan Negeri) tetap salah, katanya.

Semalam 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) DUN Pulau Pinang mengecam tindakan Rayer yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘celaka’ ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Laporan media semalam menyebut Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata kenyataan itu amat keterlaluan, biadab dan tidak sepatutnya diungkap oleh seorang wakil rakyat yang juga peguam kerana pertuturan sebegitu mencemar kedudukan beliau.

No comments:

Post a Comment