Saturday, May 3, 2014

Siapa Bohong? DAP Kata Pas Terpaksa Buat Hudud Sebab Takut Hilang Undi

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali mengingatkan kepimpinan Pas agar jangan menjadikan hukum Allah sebagai permainan dan senjata politik mereka untuk meraih semula sokongan bangsa Melayu dan umat Islam di negara terhadap parti tersebut.

Menurut beliau, ini berdasarkan kenyataan ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok yang dilaporkan di dalam sebuah portal berita pro pembangkang, Pas mengambil inisiatif untuk melaksanakan hudud hanyalah semata-mata bagi mengelakkan kehilangan sokongan Melayu di dalam satu pertemuan antara Pas dan wakil DAP serta PKR semalam.

“Jika benar apa yang dikatakan oleh Teresa itu, Pas ternyata tidak benar-benar ikhlas untuk melaksanakan hukum Allah. Malah, Pas mempergunakan pula hukum Allah itu sebagai umpan untuk menarik sokongan orang Melayu demi kepentingan politik mereka dan bukannya kerana Allah semata-mata.

“Jika inilah yang diterangkan oleh Pas dalam pertemuan mereka dengan wakil-wakil kepimpinan DAP dan PKR baru-baru ini, ternyata Pas masih lagi tetap menjadikan agama sebagai modal politik untuk meraih sokongan bangsa Melayu. Macam mana Pas mahu dapat redha Allah jika inilah niat mereka yang sebenar di sebalik isu hudud yang mereka uar-uarkan kepada rakyat di negara ini,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, sikap Pas yang menggunakan agama sebagai perbuatan politik merupakan perbuatan tercela dan sikap mereka ini memperlihatkan dakwaan dan kenyataan di mana Pas menggunakan agama sebagai umpan politik mereka ternyata benar.

“Bagi saya, pendedahan Teresa Kok itu merupakan satu bukti bahawa selama ini, Pas mempermain-mainkan agama dengan meletakkan hukum Allah itu hanyalah sekadar satu modal retorik politik untuk meraih sokongan rakyat.

“Pas sememangnya sudah lama berselindung disebalik jubah agama mereka dengan menjual ayat-ayat Quran serta hukum Allah untuk mendapatkan kuasa politik. Kononnya dengan adanya kuasa, barulah boleh menegakkan hukum Allah.

“Tetapi di Kelantan, rang udang-undang Hudud telah pun di luluskan oleh Dewan Rakyat negeri Kelantan sejak tahun 1990-an lagi, namun sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang usaha Pas untuk melaksanakan hudud di negeri tersebut,” ujarnya.

Pas seringkal  memberikan alasan kononnya usaha mereka untuk melaksanakan hudud itu dikekang oleh kerajaan pusat, sedangkan semua orang tahu bahawa kuasa dalam bidang agama terletak pada kerajaan negeri.

“Kenapa baru sekarang, isu hudud ini ditimbulkan kembali setelah 22 tahun berlalu? Apakah Pas sengaja menimbulkan semula isu hudud ini sebagai satu strategi politik mereka untuk meraih sokongan umat Islam, apabila menyedari sokongan umat Islam di negara ini terhadap mereka semakin berkurangan ekoran kerjasama mereka bersama Dap yang cauvinis dan PKR yang liberal?

“Sekali lagi saya nak nasihatkan pada kepimpinan Pas, agar jangan menjadikan hukum Allah ini hanya sebagai umpan untuk meraih undi. Jangan jual agama untuk kepentingan peribadi. Jika benar-benar mahu laksanakan hudud, laksanakanlah kerana Allah, bukan kerana dicabar oleh UMNO atau kerana mahu meraih sokongan dan undi demi kuasa politik,” tegasnya.

Hari ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata di dalam pertemuan tersebut, pemimpin Pas memberitahu wakil DAP dan PKR tentang kesukaran mereka dalam berdepan masyarakat kampung Melayu kerana  UMNO menguar-uarkan dakwaan mereka dikawal DAP.

Teresa juga dilaporkan berkata bahawa pimpinan Pas turut memberitahu wakil DAP dan PKR di mana mereka  tidak boleh berdiam diri setelah menerima cabaran yang diberikan oleh UMNO dalam isu hudud dan sekiranya  mereka tidak memberikan respon dalam keadaan ini, Pas akan hilang lebih banyak sokongan daripada orang Melayu.

Selain daripada Teresa Kok, turut hadir dalam perbincangan bersama Menteri Besar Kelantan yang mewakili Pas ialah Naib Presiden PKR Tian Chua dan Sivarasa Rasiah. Wakil DAP pula Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham dan Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong.

No comments:

Post a Comment