Tuesday, May 13, 2014

Ahmad Razif Mulakan Tugas Pertama Sebagai Menteri Besar Baharu Hari Ini


 

Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu hari ini.

Ahmad Razif mengetip kad perakam waktu pada 7.43 pagi di pejabat sementara Menteri Besar di tingkat enam Wisma Darul Iman di sini.

Ketibaan beliau disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Khas Agama Menteri Besar Kamalrudin Omar. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mat Razali Kassim.

Dalam sidang media pertamanya sebagai Menteri Besar, Ahmad Razif yang Nampak bertenaga dan bersemangat berkata beliau tidak boleh berlengah dan akan meneruskan pentadbiran Terengganu agar terus berjalan lancar.

Ditanya mengenai desakan Pas Terengganu agar beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ekoran kemelut politik di negeri itu ketika ini, Ahmad Razif menegaskan isu itu tidak pernah timbul.

“Itu memang kerja dia (Pas)…dulu, kini dan selamanya.

“Kita tiada sebarang masalah dan urusan pentadbiran berjalan seperti biasa dan tidak bercadang mengubah sebarang portfolio setakat ini,” katanya yang masih menggunakan pejabat lamanya di tingkat enam, sebelum berpindah ke pejabat rasmi Menteri Besar di tingkat 16.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri itu, dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletakkan jawatan petang Isnin lepas.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada 9.18 malam, hari yang sama.

Ahmad Razif, 49, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir selama dua penggal sejak 2008 merupakan lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling daripada Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.

Ahmad Razif juga menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu pada penggal lepas.

Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 

ialah Mohd Daud Abdul Samad daripada Pas (1959-1960)

Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad (UMNO) (1960-1970)

Datuk Mahmood Sulaiman (UMNO) (1970-1971)

Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman (UMNO) (1971-1974)

Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (UMNO) (1974-1999)

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) (1999-2004)

Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO) (2004-2008) 

dan Datuk Seri Ahmad Said (UMNO) (2008-12 Mei 2014)

No comments:

Post a Comment