Monday, May 12, 2014

Punca Pertukaran Ahmad Said sebagai Menteri Besar ...!!


                       

Putrajaya dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya 2013. Kehilangan majoriti 2/3 memberi ruang kepada kem anti Ahmad Said untuk mendesak perubahan. Peristiwa penggantian Menteri Besar secara mendadak oleh Sultan Terengganu pada 2008 masih berbekas hingga sekarang dalam UMNO Terengganu.

Namun kem Ahmad Said berpendapat menyalahkan beliau semata-mata dalam keputusan pilihan raya umum lalu di Terengganu tidak masuk akal kerana ia berpunca daripada situasi satu kapal dua nahkoda. Hampir satu negara tahu perpecahan antara kem Ahmad Said dan Idris Jusoh gara-gara Idris terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Ahmad Said secara mendadak.

Tidak cukup itu, UMNO membuat keputusan bagi mengurangkan permusuhan ini, seorang Naib Presiden UMNO diparacutkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Kem Ahmad Said tidak segan silu menyalahkan situasi ini sebagai punca UMNO Terengganui menjadi lemah.

Ahmad Said sebagai Menteri Besar sepatutnya mengetuai badan Perhubungan UMNO Negeri tetapi beliau hanya dilantik sebagai Timbalan. Ini memberi gambaran politik yang tidak baik kepada senario politik negeri seolah-olah Ahmad Said adalah Menteri Besar yang tidak dikehendaki oleh UMNO.

Dalam pilihan raya umum yang lalu dan kemudiannya Pilihan raya Kuala Besut, jelas UMNO berusaha menyatukan kumpulan Idris Jusoh dan Ahmad Said ini agar tidak merosakkan lagi UMNO negeri. Namun, Apakah pemberhentian Ahmad Said boleh menyelesaikan masalah?

Krisis Politik Negeri?
Seorang pemerhati politik bertanya, jika Ahmad Said perlu melepaskan jawatan Menteri Besar, apakah antagonisnya Idris Jusoh terus kekal sebagai Menteri? Mungkin ini juga yang sedang ditimbangkan oleh kem Ahmad Said.

Sungguhpun terdapat laporan Ahmad Said menghantar surat perletakan jawatan kepada Sultan, namun sumber yang lain pula menyatakan Ahmad said tidak pernah menghadap Tuanku bagi menyerahkan surat perletakan jawatan tersebut.

Dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari lagi kita akan melihat sama ada Terengganu akan sekali lagi diwarnai oleh krisis politik atau proses transisi kuasa inin akan berjalan lancar.

Namun melihat cara pengumuman penggantian ini dibuat dan sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Ahmad Said, jelas jalan menukar Menteri Besar Terengganu tidak semudah yang dijangka oleh Putrajaya.

Jika ia proses perubahan yang diterima seperti mana dakwaan Tengku Adnan kepada Utusan maka sudah pasti kita sudah melihat Ahmad Said dan Ahmad Razif berjabat tangan sambil berpelukan.

Lebih menarik, apakah benar khabar angin bahawa Sultan Mizan sendiri berada di luar Terengganu hari ini menyebabkan tiada acara angkat sumpah dapat dijalankan malam ini?

No comments:

Post a Comment