Saturday, May 17, 2014

Komited sedia pengangkutan yang cekap

Kerajaan negeri johor  komited untuk menyediakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, berkesan dan diyakini oleh masyarakat, khususnya di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain bas, perkhidmatan teksi turut memainkan peranan penting terhadap pembangunan dan kemajuan negeri itu.

Justeru, pemandu teksi perlu proaktif dan melengkapkan diri dengan menguasai bahasa antarabangsa bagi memastikan mereka dapat berkomunikasi dan memberi khidmat terbaik semasa berurusan dengan pelanggan.

Jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini sentiasa meningkat dan mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan teksi untuk bergerak. Jadi, amat penting bagi pemandu teksi di negeri ini mampu berkomunikasi dengan baik," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-19 Koperasi Pemandu-pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat dan Pengerusi koperasi berkenaan, Mahzaban Md. Amin.

Menteri Besar berkata, pelbagai institusi menyediakan kursus untuk mempelajari bahasa antarabangsa khususnya bahasa Inggeris dan berharap pemandu teksi menyertai kursus berkenaan untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan unit pengangkutan yang bertujuan merangka pelan terbaik dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah berkaitan.

Selain itu, pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (Paim) sedang giat membangunkan satu aplikasi telefon pintar yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.

Aplikasi tersebut dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000 dan dijangka diperkenalkan kepada masyarakat bermula Ogos ini.


No comments:

Post a Comment