Wednesday, May 21, 2014

Semasa Portugis menyerang Melaka


“Semasa Portugis menyerang Melaka, angkatan saya mengambil masa 14 hari dan 14 malam tidak tidur sebelum mampu masuk ke kota Melaka. Saat jambatan (di pelabuhan) Melaka didekati, 700 orang Jawa di pantai menyerang Portugis membantu Melaka, orang Melaka pula 10,000 orang bersiap sedia dengan 20 ekor gajah tidak jauh dari pantai. Dalam kota, jauh lebih ramai.

“Ruy D'Araujo memberitakan kepada saya, sebanyak 3,000 meriam kepunyaan Melaka. Tidak kurang 2,000 meriam dibuat daripada gangsa dan tembaga, dan selebihnya dari timah. Salah satu meriam tembaga itu pemberian Raja Calicut kepada Raja Melaka.

“Saya tahu, tidak ada yang akan percaya apabila saya beritahu bahawa meriam-meriam orang Melaka adalah sebaik meriam orang Jerman (pelurunya boleh menenggelamkan kapal-kapal).

“Angkatan Portugis di selat tidak mampu menghadapi Melaka kerana kehebatan meriam-meriamnya, askar-askarnya, sekutu-sekutunya dan gajah-gajahnya. Lalu diupah oleh Portugis kepada tukang-tukang besi dari Goa untuk membaiki senjata-senjata crossbow yang sangat-sangat diperlukan sebelum menyerang semula.” - Alfonso de Albuquerque.

JIKA begitu catatan Albuquerque jadi apakah sebenarnya sebab kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka? Sebenarnya armada Portugis telah dibantu oleh kerajaan-kerajaan kecil dari Siam, Jawa dan Sumatera yang tidak berpuas hati dengan Melaka sejak dahulu lagi. Ditambah dengan askar upahan dari Goa, Siam dan Jawa serta bantuan pembelot dari dalam iaitu pedagang Jawa dan Cina, menambah kejayaan Portugis menawan Melaka. Siapa tidak kenal dengan pembelot Melaka, saudagar Jawa yang bernama Utimutiraja. Disebabkan rasa tidak puas hati dan inginkan emas dalam istana, dia mengarahkan hamba-hambanya yang seramai 5000 orang memihak kepada Portugis. Pendapat mengatakan Utimutiraja akhirnya dibunuh oleh Portugis kerana bimbang beliau akan belot kali ke-2.

Sultan Mahmud Shah juga tidak mementingkan kesejateraan rakyatnya. Semua perempuan cantik hendak dipunyainya. Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan, telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan telah murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh!!

Mengikut penulisan Kassim Ahmad tentang sejarah Melaka dalam buku ” Kekerasan Dalam Sejarah”, hampir semua sultan Melaka mempunyai isteri dalam kalangan anak perempuan bendahara, termasuklah Sultan Iskandar, Sultan Muhammad Syah, Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah. Atas sebab inilah, perbuatan Bendahara Tun Mutahir telah berlawanan dengan amalan kebiasaan yang mana beliau seharusnya memaklumkan/mempersembahkan anak perempuannya, Tun Fatimah kepada Sultan Melaka terlebih dahulu.

Kemuncak perselisihan antara Bendahara Wan Mutahir dengan Sultan Mahmud Shah berlaku akibat difitnah oleh Datuk Shahbandar Mandeliar, Si Kitol dan Laksamana Khoja Hassan. Apabila kedatangan Portugis ke Melaka dengan tujuan berdagang, mereka telah disambut baik oleh Bendahara dan ini tidak disenangi oleh Datuk Shahbandar Mandeliar. Mandeliar berjaya menyebar fitnah kononnya Bendahara Melaka mahu mengambil alih takhta Sultan Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud Shah tidak berfikir panjang dan mengutuskan Tun Sura membunuh Tun Mutahir sekeluarga kecuali Tun Fatimah dan Tun Hamzah (masih kecil).

Akibat dari perbalahan dalaman ini menyebabkan sebahagian pedagang-pedagang tidak puas hati dan marah. Keadaan Melaka bertambah kacau apabila Portugis datang buat kali ke-2 dan melancarkan perang ke atas Melaka. Kekalahan Melaka ditangan Portugis banyak disebabkan oleh faktor dalaman.

Akibat perbuatan Sultan, fitnah dan rasa iri hati serta tamak menonjolkan watak pelaku seperti Mandeliar, Si Kitol dan Utimutiraja sebagai pembelot.. Mereka inilah yang membantu Portugis masuk dari pintu belakang menyerang Melaka dan tidak dijangka oleh pengawal-pengawal kota Melaka. Ibarat gunting dalam lipatan, diam-diam ada musuh dikalangan kita!

Nah! Hari ini UMNO yang merupakan parti yang didokong oleh sebilangan besar umat Melayu di tanahair berdaulat ini gagal belajar dari kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka. Para pemimpinnya masih lagi diulit mimpi-mimpi indah dendangan Mandeliar, Utimutiraja, Naina Chattur dan si Kitol moden. Apakah mahu menunggu 'Portugis' era baru melanggar dan menjajah baru pemimpin UMNO menggelupur hendak mempertahankan hak Melayu yang cuma tinggal 30% itu? Rasanya sudah terlalu lewat untuk bertindak jika perkara itu benar-benar terjadi.

Apakah persediaan UMNO dalam menghadapi dalam menghadapi penjajahan alaf baru ini? Sudahkah bidak-bidak disusun-atur di atas papan catur bagi menyerang balas dan mempertahankan Rajanya? Sudahkah strategi disusun dalam membaca gerakan musuh? Sudahkah UMNO besedia? Jangan hanya di PAU sahaja keris dicabut dari sarung dan dicium. Aku mahu bertanya sudahkah keris dilimau dan dilanggir? Hendak berkeris kena tahu ilmunya hendak bertikam kena tahu tarinya hendak menumpaskan musuh kena tahu muslihatnya. Jangan jadi si buta kehilangan tongkat tika menyeberangi sungai yang penuh buaya-buaya lapar.

Masanya sudah tiba untuk UMNO berlanggir membersihkan diri dari Mandeliar, Utimutiraja, Naina Chattur serta Si Kitol yang ada dalam parti. Persiapkan diri untuk dengan segala ilmu untuk mempertahankan hak kita. Sediakan lapangan seluas-luasnya serta bekalkan ilmu dunia dan akhirat yang secukupnya kepada anak-anak generasi baru sebagai pelapis untuk memimpin generasi seterusnya. Tidakkah kita sedar saban hari usia kita akan bertambah. Sedarlah kita bukan menongkat langit selamanya? 

No comments:

Post a Comment