Saturday, May 17, 2014

Bendera Malaysia "Taat kepada negara tidak semestinya taat kepada kerajaan"

                                         Taat kepada negara tetapi sokong parti hak individu, kata anak muda

Itu pendapat anak muda terhadap kritikan beberapa pihak yang menganggap mana-mana individu yang belajar di institusi pengajian tinggi awam tetapi menyertai pembangkang sebagai lupa asal usul dan tidak mengenang budi.

Tinjauan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati, pelajar-pelajar Melayu di universiti itu tidak menganggap keputusan individu seperti Dyana Sofya itu sebagai satu pengkhianatan kepada bangsa dan negara.

Sebaliknya mereka berpendirian, memilih mana-mana parti politik itu merupakan pilihan peribadi setiap individu.

Setiap warganegara tidak boleh dipaksa untuk menyokong mana-mana parti politik atau taat kepada pemerintah semata-mata kerana mereka belajar di institusi pengajian tinggi awam.

Anak muda memilih mentaati negara melebihi taat kepada mana-mana parti politik atau kerajaan, tetapi tidak bermaksud mereka lupa jasa pemerintah.

"Saya taat kepada negara bukan kerajaan, tetapi itu tidak bermaksud saya seorang penderhaka atau lupa asal usul, harus ada perbezaan antara negara dan kerajaan.

"Sesebuah kerajaan itu dipilih warganegaranya untuk mentadbir negara, jadi kami anak muda taat kepada negara, kerajaan yang mentadbir kami sokong kalau mereka jujur dan cekap serta mempunyai dasar yang boleh membangunkan negara.

"Sebagai pelajar dan warganegara yang bertanggungjawab, tentunya saya berterima kasih kepada kerajaan kerana peluang yang telah diberikan, jika pihak mana pun menjadi kerajaan, saya akan ucapkan terima kasih kerana menyediakan peluang untuk kami anak muda menuntut ilmu," kata Nu Amalina Azman, 22, pelajar jurusan Komunikasi Massa, UiTM.

                    pelajar UiTM
Pelajar UiTM: Muhammad Noor Husni Mohd Zaini, Nur Amalina Azman dan Munirah Musthafar

Pandangan sama dilontarkan bagi Muhammad Noor Husni Mohd Zaini, 22, yang berpendapat ketaatan kepada negara mengatasi pemerintah.

Katanya, jika anak muda mempunyai pandangan yang tidak selari dengan mereka yang lebih berusia ia tidak membawa maksud mereka tidak lagi menyokong kerajaan.

"Jika anak muda berkata mereka taat kepada negara lebih dari kerajaan tidak bermaksud kami tidak menyokong kerajaan, sokong dan taat itu perlu difahami ia membawa maksud berbeza.

"Saya rasa semua anak muda taat kepada negara biarpun ada antara kami tidak menyokong kerajaan atau parti yang memerintah, kami lahir di sini jadi tentunya kami taat kepada negara, ini negara kami," katanya.

Bagi Munirah Musthafar,22, anak muda akan memberi sokongan kepada kerajaan jika ia jujur, telus dan cekap dalam pentadbiran.

Katanya, tidak ada anak muda yang akan khianat kepada negara biarpun ada antara mereka memberi sokongan kepada pembangkang.

"Kerajaan boleh berubah, sekarang mungkin parti ini yang memerintah, akan datang tidak mustahil pihak lain, tetapi negara tidak berubah, tetap negara yang sama.

"Jadi kami sebagai anak muda akan taat kepada negara, kerajaan yang baik dan jujur akan kami sokong," katanya.

Isu sikap anak muda terhadap kerajaan timbul apabila Dyana Sofya Mohd Daud, lulusan UiTM dinamakan sebagai calon DAP.

Kerana Dyana Sofya lulusan UiTM, maka dia dilabelkan sebagai 'pengkhianat' dan 'lupa asal usul' disebabkan memilih untuk menyertai DAP.

No comments:

Post a Comment