Friday, May 2, 2014

Kg Kong Kong Laut tarikan pelancong

JOHOR BAHRU: Jabatan Pelancongan Johor komited untuk mempromosi Eko Pelancongan di Kampung Kong Kong Laut, dekat Masai, di sini, sebagai tarikan baru pengunjung ke kawasan Iskandar Malaysia.

Pengarahnya Mohd Hafiz Ahmad berkata, kerjasama antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) menerusi program Kawan Iskandar Malaysia (KIM) dan Politeknik Ibrahim Sultan, kini sedang giat dilakukan bagi mempertingkat kemudahan asas dan menyediakan latihan kepada penduduk kampung yang terlibat. 

"Kita melihat potensi Kong Kong Laut yang kaya dengan flora dan fauna seperti tumbuhan bakau dan beberapa spesies burung boleh diketengahkan kepada rakyat tempatan dan pelancong asing. 

"Ini menjadi tarikan baru selain mengunjungi kawasan pelancongan sedia ada seperti Taman Tema Legoland dan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour," katanya kepada pemberita selepas taklimat potensi pelancongan Kong Kong Laut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Ibrahim Sultan Suzana Hashim dan Naib Presiden Kanan Ekonomi dan Pelaburan Irda Mohammad Rosly Md Selamat.

Mohd Hafiz berkata, kawasan pelancongan itu setakat ini sudah menarik rakyat Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun dengan pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti menyusuri Sungai Johor menggunakan bot jenis catamaran, meninjau pokok bakau, memancing, menangkap ketam, menginap di rumah rakit dan menikmati masakan kampung.

No comments:

Post a Comment