Kini, masa untuk semua wakil rakyat berkhidmat untuk orang yang telah memilih mereka. Sebelum agenda kerja sepanjang penggal ini dirancang dan diperkenalkan, elok juga dinilai kekuatan serta kelemahan sesuatu kawasan dan masyarakatnya supaya agenda kerja yang disusun dapat memperteguhkan lagi kekuatan tersebut serta memperbaiki kelemahan yang ada.
Perkara pertama yang sering dinilai ialah kemudahan asas. Apa-apa kemudahan asas yang belum ada, hendaklah diusahakan untuk wujud di sesuatu kawasan. Manakala apa-apa kemudahan asas yang telah ada, jika tidak pun ditambah nilainya, perlulah dipastikan diselia dengan baik agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara berterusan. Namun, kemudahan asas bukanlah satu-satunya perkara yang dimahukan oleh rakyat.
Banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Satu daripadanya ialah kebajikan golongan yang memerlukan seperti orang-orang miskin, anak yatim, golongan kurang upaya dan seumpamanya. Untuk penggal ini, mungkin ada baiknya jika para pemimpin mensasarkan untuk memastikan nasib golongan ini di kawasan masing-masing terbela. Kayu ukur yang patut digunakan ialah "Tiada satupun kes kemiskinan atau pengabaian golongan ini akan dipaparkan oleh media, baik media cetak mahupun elektronik". Ini patut menjadi salah satu matlamat utama di kawasan masing-masing dan menjadi tanggungjawab semua pihak di kawasan tersebut untuk menjayakannya.
Jika pemimpin-pemimpin dulu boleh melakukannya, mengapa tidak pemimpin zaman ini? Pemimpin masa kini perlu turun padang dalam erti kata yang sebenarnya bagi menyelami kehidupan sebenar rakyat. Bertemu mereka di balai raya pastinya tidak sama seperti melihat sendiri keadaan rumah mereka. Begitu juga, menaiki bas yang baru dilancarkan, tidak sama dengan menaiki bas lama yang dinaiki setiap hari oleh orang ramai. Samalah juga, tidak mungkin seorang pemimpin mendapat gambaran sebenar tentang kenaikan harga barang jika mereka berkunjung ke pasar dalam satu rombongan besar beserta pengawal peribadi dan juru gambar media.
Selain kemajuan dari segi prasarana, rakyat juga perlu diperkasakan dengan ilmu dan satu-satunya cara untuk mencapai tujuan ini ialah dengan memastikan semangat pembelajaran sepanjang hayat subur mekar di kawasan yang diwakili. Banyak majlis ilmu yang boleh dianjurkan, baik dalam bentuk ceramah, forum mahupun kursus dan bengkel ke arah memberi ilmu serta kemahiran untuk mempertingkatkan modal insan di sesuatu kawasan.
Agama Islam, sebagai satu agama yang menganjurkan usaha menuntut ilmu dari buaian ke liang lahad perlu menjadi pemangkin kepada usaha ini, khususnya di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai orang Melayu.Akhirnya, khusus bagi pemimpin baru, perlu juga dinilai semua hasil peninggalan pemimpin yang sebelumnya. Terdapat kecenderungan di kalangan pemimpin baru untuk membuang segala warisan dan peninggalan pemimpin lama tanpa menilai setiap satu darinya. Memang benar, pemimpin baru perlu memperkenalkan dasar-dasar serta cara bekerja yang baru kerana itulah yang rakyat mahukan. Namun, tidak mungkin tiada satupun kebaikan yang telah dibawa oleh pemimpin sebelumnya.
Maka, adalah lebih wajar jika pemimpin baru menilai semua warisan dan peninggalan ini dengan jujur dan ikhlas. Jika ada peninggalan yang ternyata telah memberi manfaat kepada rakyat, ia perlu diakui dan diteruskan mengikut kesesuaian. Manakala peninggalan yang lemah sifatnya, ia boleh, sama ada dibaiki atau diketepikan. Hanya setelah itu, barulah diperkenalkan satu dua pembaharuan. Tidak perlu tergesa-gesa kerana setiap pemimpin ada satu penggal untuk membuktikan dirinya. Pembaharuan boleh dilakukan secara beransur-ansur.
Yang penting bukan berapa banyak pembaharuan yang diperkenalkan. Sebaliknya, sejauhmana pembaharuan itu mendatangkan manfaat kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment