Thursday, May 22, 2014

Malaysia adalah satu-satunya negara terawal yang menjalin hubungan dengan China dan dalam semangat kerjasama.

Kehadiran dua ekor panda gergasi China yang dinamakan Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia adalah satu lagi simbolik ikatan dua hala antara Malaysia-China khususnya dalam meraikan jalinan yang terpatri genap 40 tahun sejak 1974.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap bahawa hubungan Malaysia dengan kuasa besar dunia tersebut adalah satu pengiktirafan kepada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan negara ini terus maju dan turut bersaing di pentas antarabangsa.

“Hubungan antara China dan Malaysia amat istimewa kerana pemimpin kita adalah antara perintis pemimpin asing yang berkunjung ke China selepas kuasa besar dunia ini membuka pintunya,

sejarah-lawatan-hubungan-malaysia-pm-tun-abdul-razak-umno-bn-china-mao-tse-tung-china-parti-cpc-komunis

Jelasnya, BN dan Parti Komunis China (PKC) bermula dengan kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974 dan hubungan tersebut berlanjutan sehingga kini.

“Malaysia adalah satu-satunya negara terawal yang menjalin hubungan dengan China dan dalam semangat kerjasama inilah, China dan Malaysia memperkukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama kita dalam bidang ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pembangunan sosial.

“China adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai jumlah penduduk yang sangat ramai dan apabila ada hubungan akrab yang dibuat dengan Malaysia maka ini adalah satu pengiktirafan terhadap kerajaan kita iaitu Barisan Nasional,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Dalam hubungan antara parti juga, UMNO turut meterai perjanjian melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010.

“Menerusi memorandum itu juga UMNO dan PKC bersetuju mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing.

“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan yang telah berjaya membawa negara China menjadi kuasa ekonomi terbesar dan dikagumi di persada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang pelbagai etnik,” katanya.

“Jangan hanya bersandarkan kepada nama komunis lantas kita menutup pintu persahabatan sedangkan PKC bukanlah regim yang kejam sebaliknya mereka mengamalkan sistem komunisme terpimpin, sentiasa berbincang, bermuzakarah dan melaksanakan konvensyen dalam usaha membenagunkan sebuah negara yang besar.”

Dalam hal lain, program lima tahun membabitkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia-China dibuat yang membabitkan peningkatan kerjasama strategik semasa dalam ‘Perkongsian Strategik Komprehensif’ iaitu mengunjurkan dagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah AS$160 bilion menjelang 2017. 

No comments:

Post a Comment