Friday, May 16, 2014

panas apabila ada ahli parti bertindak mengamuk ....

DRAMA politik pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin panas apabila ada ahli parti itu bertindak mengamuk di hadapan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
    

Anwar dilihat kelam kabut mententeramkan lelaki itu yang melaungkan kata-kata “Khalid Rasuah, Khalid Penipu,” yang merujuk kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Video amukan kata-kata itu sudah pun tersebar di laman YouTube apabila ia dimuatnaik ke laman sosial itu beberapa jam tadi. Ahli PKR berkenaan difahamkan tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti yang dilihat ada unsur penipuan dan penggunaan politik wang.


Ahli PKR berkenaan ialah Zulkifli Abdullah dari Cabang Kuala Selangor mendakwa terdapat unsur penipuan dan rasuah dalam pemilihan parti itu.

Menurut beliau ada ahli yang tidak sepatutnya berada di dalam dewan pemilihan turut berada di dewan itu ketika pemilihan berlangsung.

“Unsur-unsur gangster ada dalam mesyuarat Cabang itu sendiri yang mana orang yang tidak sepatutnya berada di dalam dewan pemilihan itu pun berada bersama, termasuk seorang ahli PKR yang telah dipecat,” katanya ketika ditemui media selepas kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya sudah menyerahkan bukti kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR dan juga membuat laporan polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas perkara itu.

“Kita sudah buat laporan polis dan juga serahkan bukti kepada JPP termasuk rakaman suara dan juga rakaman video mengenai penyerahan wang daripada pihak yang berkempen untuk kemenangan Abdul Khalid.

Abdul Khalid bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandang Azmin Ali dan perebutan itu dilihat semakin panas dengan beberapa insiden melibatkan kekecohan sudah pun berlaku. 

No comments:

Post a Comment