Pemilihan semula di 27 cabang PKR yang dijadualkan hari ini telah pun ditangguhkan ke tarikh yang lain. Bagi kebanyakan ahli biasa PKR di cabang yang terlibat, perkembangan terbaru ini adalah sesuatu yang mengecewakan kerana ia umpama menafikan hak demokrasi dalam parti.
Dengan penangguhan terbaru ini entah bila pula akan diadakan semula pemilihan bagi cabang PKR yang bermasalah belum diketahui.
Seperti umum ketahui PKR Cabang Kemaman yang diketuai Rafizi adalah antara Cabang PKR yang terawal ditangguhkan pemilihannya gara-gara kekecohan yang tercetus secara tiba-tiba kira-kira dua jam sebelum proses pengundian tamat pada pemilihan baru-baru ini.
Menurut sumber PKR, Rafizi dan penyokongnya telah memulakan provokasi lisan dengan mempertikaikan kewibawaan ahli jawatankuasa pemilihan yang dituduh tidak melakukan tugas dengan betul serta turut dihamburkan kata-kata kesat sehingga mencetuskan pertikaman lidah dua-dua pihak.
Dakwaan tersebut bukannya datang dari sumber UMNO atau BN sebaliknya didedahkan sendiri oleh pemimpin PKR Kemaman yang merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang iaitu Lee Sheng Lim.
“Rafizi kemudian naik ke tempat pengundian dan marah-marah mengatakan kami tidak pandai bekerja. Selepas itu beliau turun semula ke bawah, sebelum beberapa penyokongnya naik dan mengoyakkan kertas undi,” demikian penjelasan bekas Naib Ketua Cabang Kemaman itu seperti disiarkan dalam Berita Harian pada 27 April yang lepas.
Menurut Lee Sheng Lim lagi tindakan itu dipercayai dilakukan oleh Rafizi dan penyokongnya setelah menghidu kemungkinan calon saingannya untuk jawatan Ketua Cabang PKR Kemaman dilihat akan memenangi pertarungan tersebut setelah mendapat sokongan ramai ahli PKR Kemaman.
Bila berlaku kekecohan sedemikian rupa secara automatik pemilihan yang memihak kepada calon pencabar Rafizi iaitu Mohd Ramlee Hamzah yang cuma seorang ahli biasa PKR terpaksa dihentikan dan pemilihan cabang itu ditangguhkan. Selamatlah Rafizi dari mimpi ngeri yang amat memalukan.
Khabarnya pemilihan semula pada mulanya dijadualkan pada 10 Mei tetapi ditangguhkan kepada hari ini 17 Mei. Namun pemilihan semula hari ini juga ditangguhkan sekali lagi sehingga mencetuskan spekulasi kemungkinan penangguhan ini ada kaitan dengan usaha terancang untuk kepentingan pihak tertentu dalam PKR.
Apapun perkembangan terbaru ini tidak dapat tidak mungkin sahaja satu khabar gembira yang cukup melegakan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli serta penyokongnya kerana tempoh waktu yang ada sebelum tarikh baru ditetapkan boleh dimanfaatkan untuk menggiatkan lagi kempen mereka di Cabang PKR Kemaman.
Pun begitu ia tentunya bukan bermakna mimpi ngeri yang menghantui Rafizi belum lagi berakhir. Tak mustahil mimpi ngeri bakal menjadi realiti seandainya saudara Ramlee Hamzah terus mendahului lagi persaingan merebut jawatan Ketua Cabang dalam pemilihan semula kelak.
Jika itu berlaku kita harap Rafizi perlu bersikap gentleman dan dapat mengawal juak-juak balacinya supaya menerima proses demokrasi. Rasanya sudah cukup buruk imej PKR waktu ini dengan pelbagai kelakuan gengsterisme, andai berulang lagi dek kerana enggan menerima keputusan majoriti ahli elok dibubarkan sahaja PKR.
No comments:
Post a Comment