Wednesday, May 14, 2014

Rakyat Terengganu Berterima Kasih Krisis Politik Selesai, Pas Berputih Mata...

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, A. Latiff Awang berterima kasih kepada kepimpinan UMNO khususnya Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengambil serius perkembangan yang berlaku khususnya dalam menyelesaikan krisis politik tempatan selepas peralihan jawatan Menteri Besarnya.

Katanya, hasil muafakat dan kebijaksanaan daripada kepimpinan parti di peringkat pusat dan kepimpinan peringkat negeri Terengganu maka segala kemelut yang melanda sejak kelmarin dapat ditangani.

Kemelut politik yang Terengganu berlaku ekoran pertukaran Menteri Besar yang baharu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

perjumpaan-mb-baharu-baru-terengganu-ahmad-razif-adun-rombongan-putrajaya-pm-najib-muhyiddin-tengku-adnan-sokong-aman-stabil-selesai

“Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada kepimpinan UMNO keseluruhan yang dapat mengembalikan keteguhan UMNO di Terengganu,” katanya kepada UMNO-Online.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, kini tumpuan utama UMNO adalah untuk meneruskan usaha membangunkan negeri tersebut, selain membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Berdasarkan kepada apa yang telah berlaku, kita boleh jadikan ia sebagai iktibar dengan semua anggota parti dari pemimpin hinggalah ke akar umbi mesti sayangkan UMNO dan nilai perjuangan yang ada tanpa melihat kepada agenda peribadi.

“Pada bila-bila masa sahaja, pemimpin datang dan pergi tetapi nilai perjuangan janganlah pernah terpadam malah kita perlu saling menghormati antara satu sama lain sebagaimana kita akur dengan kepimpinan tertinggi parti dalam mentadbir,” katanya lagi.

Dalam hal ini beliau turut membidas pakatan pembangkang yang lebih suka menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan atas kemelut politik yang berlaku.

“Itu sudah memang sikap pembangkang yang mengharapkan perpecahan dalam UMNO untuk membolehkan mereka membina kerajaan tetapi tidak mungkin untuk orang UMNO menggadaikan perjuangan yang telah dibina dan menyerah begitu sahaja tanpa mencari jalan penyelesaian.”

Tegasnya, berdasarkan kemelut yang berlaku sebelum ini, tentunya semua pihak amat sedar bagaimana pentingnya setiap individu berperanan dan meneruskan keampuhan UMNO dalam kerajaan dan sebagai pemimpin tempatan.

“Harapan saya, semoga UMNO Negeri Terengganu bertambah kuat dengan mengembalikan fokus utama kepada pentadbiran dan hasrat berkhidmat kepada rakyat terus direalitikan,” katanya.

Susulan peralihan teraju kepe¬mimpinan negeri menerusi pelantikan ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, 49, Ahmad turut menyebabkan dua lagi ADUN mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas namun hari ini segala kemelut yang berlaku selesai apabila dilaporkan Ahmad dan Ghazali Taib akan kembali menyertai UMNO. 

No comments:

Post a Comment