Tuesday, June 10, 2014

YAB MENTERI BESAR JOHOR DAN KE BAWAH DYMM SULTAN JOHOR

YAB  MENTERI BESAR JOHOR DAN KE BAWAH DYMM SULTAN JOHOR

Deraf pertama Rang Undang undang Lembaga Perumahan dan Hartatanah Johor (LPHJ) mendapat reaksi pelbagai pihak. Ada yang berpandangan ini merupakan langkah mundur kebelakang oleh kerajaan negeri Johor dengan memberi kuasa mutlak kepada sultan.

Persoalan pertama yang harus dilihat adakah semua mereka yang terlibat mentadbir kerajaan Negeri Johor tidak faham tentang konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Pentadbir tidak fahamkah atau sengaja tidak faham dengan konsep Raja Berperlembagaan. Jika diteliti deraf pertama jelas menunjukkan kebodohan mereka memberi nasihat kepada kerajaan negeri.

Konsep Raja berperlembagaan yang dipersetujui antara Raja dan rakyat semasa mendapat kemerdekaan ialah dengan merujuk apa yang diamalkan DI UK. Persetujuan ini merupakan perjanjian antara Rakyat dan Raja. Dalam perlembagaan, kuasa raja hanya  berkaitan dengan membubarkan parlimen atau Dewan Undangan Negeri, Melantik Perdana Menteri atau Menteri besar dan memperkenan Undang Undang yang diluluskan  oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Walaubagaimana pun hak ini perlu dilaksanakan tertakluk kepada konvensyen (convention), maksudnya ia tidak mutlak ia dilaksanakan dengan nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar. Maksud nasihat ini secara halusnya perlu diperkenan oleh Raja. Selain dari itu Raja adalah berkuasa terhadap perkara yang berkaitan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu

Jika kita rujuk kepada deraf pertama LPHJ, Kuasa Sultan melantik Ahli Lembaga LPH; Gaji Elaun ditentukan oleh Sultan; Mewujudkan syarikat perlu kelulusan sultan; Laporan Kewangan mesti diserah kepada Sultan ;  Sultan berkuasa Melantik Lembaga Penyiasat; Kuasa Sultan untuk membubarkan LPHJ. Semua ini ada lah bertentangan dengan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Pihak berkuasa negeri yang dipilih oleh rakyat menyerahkan kuasa nya kepada sultan. Apa yang difikirkan oleh pentadbir negeri ? adakah mereka menyerahkan mandat rakyat yang diberikan kepada kerajaan semasa untuk tidak menghormati kontrak kemerdekaan yang diikat antara Raja dan rakyat atau mereka jahil tentang sejarah penubuhan negara dan bagimana perlembagaan digubal dan inpirasi sebaliknya.

Melihat kembali semula perjanjian semasa merdeka, melaksanakan kuasa Raja mengikut Perlembagaan dan Konvensyen mesti diikuti walaupun tidak merupakan undang-undang. Raja dan Rakyat menerima konsep Raja Berpelembagaan sejak Malaysia merdeka seperti yang terdapat dalam laporan Suruhanjaya Reid, ianya telah menjadi suatu kontrak antara rakyat dan Raja. Hak tersirat Raja dalam perjanjian ini hanya untuk dirujuk, menasihat dan menegor kerajaan yang dipilih oleh rakyat jika terdapat perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan kehidupan rakyat.

Memberi kuasa yang luas kepada Sultan dalam LPHJ bermaksud memberi kuasa exsekutif kepadanya, dan dalam keadaan semasa tidak mustahil kuasa ini akan memberi ruang kepada pengaruh tidak wajar berlaku semasa LPHJ melaksanakan tanggungjawabnya.

Persoalan besar ialah kenapa selepas LPHJ menjadi isu  di dalam media, baharu kerajaan negeri hendak membuat pindaan. Walaupun dengan pindaan masih lagi terdapat ruang pengaruh tidak wajar, mereka yang tidak belajar undang undang pun boleh faham maksudnya, perlantikan ahli lembaga masih lagi oleh raja atau Menteri Besar, pembatalan perlantikan oleh raja dan Menteri Besar, elaun ditentukan oleh pihak berkuasa negeri ( kerajaan negeri lebih baik), perlantikan mendapat kelulusan raja atas nasihat Menteri Besar ( diatas nasihat Menteri Besardan diperkenan oleh raja). Adakah terdapat perbedzaan dilantik oleh Raja dan mendapat kelulusan raja. Hanya yang berbedza ayat sahaja bukan maksudnya. Maksudnya masih kuasa tersebut terletak kepada Raja.

Sekali lagi Pentadbir negeri tidak faham tentang Konsep Raja berperlembagaan dan ikatan perjanjian antara Rakyat dan Raja semasa mendapat kemerdekaan. Dicadangkan mereka yang mentadbir kerajaan negeri Johor ini perlu mengikuti kursus atau taklimat dari Pakar Undang Undang Undang samaada dari luar negara dan dalam negara supaya mereka lebih arif dan menghayati konsep Raja Berperlembagaan. Dalam negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen  Raja tidak seharusnya mempunyai kuasa eksekutif  samaada secara tersirat atau tersurat. Penglibatan dalam pentadbiran negeri boleh menjejaskan ketelusan kerajaan negeri yang dilantik oleh rakyat. Raja juga terdedah kepada tindakan undang undang  dikalangan mereka yang tidak berpuashati dengan keputusan atau tindakan yang tidak wajar yang membelakangkan hak asasi manusia yang diperuntukan dalam perlembagaan negara.

No comments:

Post a Comment