Thursday, June 19, 2014

Hong Leong tolong Jangan Buruk Imej Negara Malaysia Di Mata Dunia Luar....

KUALA LUMPUR: Hong Leong Insurance (Asia ) Limited menjelaskan iklannya di Hong Kong yang disifatkan sebagai perkauman sebenarnya bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai manfaat yang ada melalui skim perlindungan insurans kepada pembantu rumah.

Pengarah dan pengurus besarnya, Harry Wong berkata pihaknya tidak pernah sama sekali berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana orang atau membeza-bezakan manusia mengikut kaum, jantina dan sebagainya.

"Niat kami hanyalah untuk menarik perhatian masyarakat kepada faedah mempunyai perlindungan insurans untuk pekerja dan dalam hal ini, pembantu rumah," katanya dalam satu  kenyataan yang dikirimkan kepada Astro AWANI.

Harry menambah pihaknya telah menarik balik iklan berkenaan kerana tidak mahu menyebabkan mana-mana pihak tersinggung.

Jelas beliau, syarikat insurans itu selama ini memberikan penekanan yang besar untuk menjadi warga korporat yang bertanggungjawab.

"Kami kesal iklan kami yang terbaru yang melibatkan seorang individu melakonkan dua watak dianggap sebagai tidak wajar," kata kenyataan itu.

Iklan itu dikecam oleh beberapa NGO yang membela hak pembantu rumah di Hong Kong dan mendesak Hong Leong Insurance (Asia) Limited  meminta maaf kepada semua pembantu rumah warga Filipina.

Iklan 30 saat yang tersebar melalui YouTube itu memaparkan seorang pembantu rumah warga Filipina yang dilakonkan oleh pelakon lelaki yang memakai rambut palsu dan wajahnya dimekapkan gelap. Pelakon yang sama juga berlakon sebagai majikan pembantu rumah itu.

Menurut South China Morning Post, iklan itu muncul ketika ada kebimbangan masyarakat mengenai layanan majikan kepada pembantu rumah serta ancaman isu perkauman di Hong Kong.

Jurucakap Badan Penyelaras Pendatang Asia, Eni Lestari berpendapat iklan itu memperlekehkan komuniti warga asing yang jadi pembantu rumah di Hong Kong.

Kontroversi iklan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas isu buku teks di Hong Kong yang meminta murid menyesuaikan orang pelbagai etnik dengan pekerjaan tertentu. Buku teks itu disifatkan mengasuh kanak-kanak untuk mempunyai pandangan yang stereotaip  tentang masyarakat di sekeliling mereka, misalnya warga Indonesia pembantu rumah atau orang Jepun pemilik restoran sushi.

Ia juga berlaku selepas beberapa kes penderaan ke atas pembantu rumah. Antaranya, kes pembantu rumah Indonesia, Erwiana Sulistyaningsih, yang didakwa didera oleh majikan. Majikannya sedang dibicarakan di mahkamah.

Hong Leong Insurance (Asia) Limited yang ditubuhkan di Hong Kong pada 1973 ialah anak syarikat Hong Leong Financial Group Berhad.

No comments:

Post a Comment