Thursday, August 14, 2014

PERANAN BELIA DALAM MEMBINA NEGARA 1MALAYSIA

                                                       

Pascan ke merdekaan ini, perpaduan amat penting terutama untuk memupuk semangat patriotisme sesebuah negara terutama negara seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Perbezaan ini mungkin akan menyebabkan ada yang berasa tidak berpuas hati. Oleh itu, untuk mencapai perpaduan dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak telah mencetuskan idea yang bernas dengan merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi merealisasikan gagasan ini, peranan golongan pelajar amat penting kerana golongan inilah yang bakal meneraju Negara Malaysia pada masa akan datang. Apakah sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan gagasan ini?

Program Latihan Khidmat Negara [PLKN] yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lepas merupakan satu pendekatan yang baik untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan pelajar. Di dalam program ini selain dapat meningkatkan keyakinan para pelajar, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Namun, ada segelintir pelajar yang cuba untuk mencari alasan untuk tidak melibatkan sebarang aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh kerajaan terutama dalam Program Latihan Khidmat Negara. Untuk meralisasikan gagasan 1Malaysia peranan pelajar amat penting. Oleh itu, semua pelajar perlulah memberikan kerjasama seperti peribahasa bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat.

Seterusnya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan pelajar, mereka juga harus menghayati Rukun Negara. Hal ini adalah kerana, menghayati Rukun Negara juga salah satu pendekatan terbaik untuk para pelajar supaya dapat memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju bagi merealisasikan wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh mantan perdana menteri kita Tun Dr. Mahathir bin Mohamad . Prinsip- prinsip yang telah digubal dalam rukun negara adalah untuk menyelesaikan isu sentimen perkauman yang terjadi pada 13 Mei 1969. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara supaya dapat belajar daripada kesilapan dan dengan itu sejarah hitam Tragedi 13 Mei 1969 tidak akan berulang lagi kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali serta negara kita tidak dipandang hina oleh negara lain dan negara kita disamakan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat dan Thailand.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1Malaysia. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum, para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaum lain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum yang merupakan peranan perdana yang harus dilaksanakan oleh pelajar untuk

Akhir sekali, cara yang terbaik untuk membina negara bangsa 1Malaysia ialah para pelajar menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang sama dengan kaum lain iaitu Bahasa Malaysia dapat dijadikan alat untuk memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan semangat cinta akan tanah air. Jikalau pelajar enggan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar dengan bangsa lain, perpaduan tidak dapat dipupuk maka gagasan 1Malaysia juga tidak dapat direalisasikan. Maka dengan itu, jelaslah bahawa bahasa sangat penting untuk memupuk semangat perpaduan yang jitu.

Konklusinya, para pelajar mempunyai peranan yang penting dalam memastikan gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan seperti yang diaspirasikan oleh perdana menteri kita. Bersatu Teguh Bercerai Roboh dapat menggambarkan bahawa rakyat Malaysia perlulah sentiasa bersatu supaya dapat membuktikan pada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin erat di Malaysia.




No comments:

Post a Comment