JOHOR BAHRU: Enakmen berhubung Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) dijangka akan berkuat kuasa pada awal tahun hadapan.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaksanaan enakmen tersebut memerlukan masa untuk pihak kerajaan menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan pentadbiran dan juga penstrukturan semula jawatan kakitangan kerajaan.
Katanya, kerajaan negeri tidak mahu terburu-buru dalam menguatkuasakan enakmen berkenaan bagi memastikan penguatkuasaan enakmen itu nanti mencapai matlamat penubuhannya.
“Buat waktu ini, terdapat pelbagai prosedur membabitkan urusan pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum enakmen tersebut dapat dikuat kuasakan.
“Kerajaan negeri juga perlu mencari pegawai-pegawai yang layak dan mampu menjalankan amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat negeri ini khususnya berhubung penubuhan enakmen tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Timur, Masai, di sini semalam.
Ujar Khaled, enakmen tersebut masih belum mendapat tandatangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana terdapat beberapa perkara yang harus diselesaikan terlebih dahulu.
“Buat waktu ini, enakmen tersebut masih belum dipersembahkan kepada baginda kerana masih ada beberapa perkara yang belum selesai, jadi saya rasa tidak ada gunanya jika kita terburu-buru dalam soal ini.
“Biarlah apabila kesemua perkara sudah dilakukan dengan sebaiknya baharu ia dipersembahkan kepada baginda untuk mendapat perkenannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment