Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar mana-mana ahli atau pemimpin PAS untuk keluar dari parti itu sekiranya mereka berpandangan bahawa PAS lebih baik untuk berpisah dari Pakatan Rakyat.
AJK PAS Pusat yang sering dikritik akar umbi parti itu berkata, setelah ahli atau pemimpin itu keluar dari parti itu, barulah PAS mampu memainkan peranan yang lebih berkesan di dalam gabungannya dengan DAP dan PKR.
"Apabila ahli ini pergi, barulah PAS akan dapat menjadi anggota yang efektif dalam PR.
"Sebab itu saya katakan, mereka yang tidak bersetuju PAS tidak harus bersama dengan PR perlu meninggalkan parti dan pergi ke tempat lain," kata Khalid yang dipetik dari Malaysian Insider, semalam.
Khalid turut mengaku bahawa terdapat di kalangan ahli atau pemimpin parti itu yang tidak setuju untuk PAS terus bersama Pakatan Rakyat dan mereka inilah yang wajar "dihalau" keluar dari parti tersebut.
Sejak PAS bergabung dengan DAP dan PKR sejak 2008, ahli dan para pemimpinnya sudah berkali-kali berdebat di antara sesama mereka ekoran peranan serta kedudukan parti itu yang dilihat seolah-olah diperkotak-katik oleh dua parti sekutu mereka.
Kemuncaknya dilihat makin meruncing berhubung isu krisis Menteri Besar Selangor menyaksikan dua ADUN PAS, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin lebih memilih untuk "derhaka" pada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dewan Ulama.
ADUN Hulu Klang dan Morib itu secara terbuka memberi sokongan terhadap pemilihan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang digulingkan melalui gerakan yang dicetus PKR sendiri.
Sebelum ini, ramai ahli di peringkat akar umbi secara terbuka meminta para pemimpin PAS supaya mengkaji semula kerjasama parti tersebut dengan PKR dan DAP, selain mendakwa parti Islam terlalu banyak berkompromi seterusnya merugikan kepentingan PAS.
Selain itu, ada pula ahli yang mengkritik pemimpin PAS Selangor yang dilihat bagaikan "lembik" sedangkan pemimpin dari parti itu lebih layak untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar di Selangor berdasarkan kelebihan majoriti yang dimiliki PAS.
Bagaimanapun, Khalid dilihat enggan bersetuju dengan kritikan itu dan dia mendakwa kononnya PAS mampu menjadi parti berkesan dalam Pakatan Rakyat, sekaligus menolak khabar angin parti itu mengintai jawatan Menteri Besar Selangor.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi PAS tidak akan merebut jawatan menteri besar Selangor kerana calon mesti mendapat sokongan majoriti," kata Khalid lagi.
Mengejutkan, Ahli Parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa Khalid Ibrahim akan menerima "habuan" setimpal dari suami Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya bersetuju menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Presiden PKR itu secara "baik".
"Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan peranan baru bagi Khalid jika isu itu diselesaikan secara baik." dakwa Khalid
No comments:
Post a Comment