Friday, June 27, 2014

PENAGIH JUDI MESIN SOKONG TINDAKAN PIHAK BERKUASA


Hapuskan Semua Bentuk Judi

"RESAH GELISAHNYA jika tidak menghadap mesin judi komputer lebih hebat daripada orang kena penyakit angau. Bukan sahaja makan tak lalu, tidur tak lena malah hati mengirap-ngirap dan jantung berdebar-debar kalau sehari tidak bermain mesin itu. Deminya, penagih mesin judi rela berbuat apa sahaja walau terpaksa menggadai rumah dan tanah ladang..."

Itu kata-kata yang pernah diungkapkan kepada kerambit oleh beberapa penagih mesin judi haram terhadap tabiat buruk mereka itu apabila kerambit cuba mendapatkan reaksi mereka terhadap aktiviti buruk itu.
Menurut mereka, panggilan dan godaan nafsu untuk mencurahkan wang ringgit di peremis judi itu amat kuat meskipun sebenarnya mereka jelas memahami bahawa kerugian dan kepapaanlah yang pasti diterima. Beberapa rakan yang telah kecundang malah ada yang jadi separuh gila tidak mendatangkan sebarang keinsafan kepada mereka.

Paling menyedihkan, selain tanah kampung dan harta tergadai, ramai kalangan penagih judi mesin itu porak peranda rumah tangganya!
Namun, sejak kira-kira dua bulan kebelakangan ini, ramai golongan itu kini mati kutu akibat banyak premis yang menjalankan urusniaga haram itu telah menutup operasinya berikutan 'amukan' pihak berkuasa khususnya unit anti perjudian, maksiat dan kongsi gelap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tindakan kerajaan bertindak tegas membanteras kegiatan judi haram itu mendapat pujian daripada segenap lapisan masyarakat termasuk masyarakat cina dan india. Tindakan itu juga dipercayai sekali gus mampu mengurangkan kes jenayah pecah rumah, curi, samun dan rompak.

Seorang ibu berbangsa cina menyatakan kegembiraannya tindakan kerajaan itu kerana ia bukan sahaja menyelamat anaknya daripada terjebat ke kancah perjudian itu malah turut menyelamatkan harta dan keselamatannya juga.

"Bagus la.., kita harap itu polis jangan kasi muka sama ini kedai judi. Semua orang pun jadi susah. Sama seperti itu dadah. Kasi tutup habis-habis wo", katanya.

Sementera itu, beberapa penagih judi berkenaan yang majoritinya orang melayu yang ditemui berkata pada peringkat awalnya mereka agak sukar menahan 'rindu' terhadap permainan itu.

Namun, setelah hampir dua bulan tidak bermain, mereka akui banyak wang dapat diselamatkan dan kehidupan keluarga masing-masing pun lebih baik.

Justeru, menurut mereka kerajaan perlu serius membanteras apa sahaja aktiviti judi haram di negara ini kerana akibatnya bukan sahaja buruk kepada penagih judi itu malah lebih teruk ia boleh menghancurkan kerukunan rumah tangga masyarakat.

"Seperti dadah juga, penagih tetap ada selagi bekalan masih boleh didapati di pasaran gelap. Demikianlah judi mesin ini, kalau kerajaan tak banteras sepenuhnya, selagi itulah masalah sosial ini tidak akan selesai," kata mereka.





Kerambit "Arak, judi, anjing dan babi... "

No comments:

Post a Comment