Ke hadapan Presiden Barack Obama,
Selamat datang ke negara saya, tanahair saya, Malaysia yang indah.
Kami rakyat Malaysia sangat berbangga bahawa tuan, sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), menjadi presiden AS yang pertama pula memutuskan untuk melawat negara kami yang tidak seberapa ini dalam tempoh 48 tahun lalu.
Meski pun tuan berbangsa Amerika, rakyat Malaysia telah turut sama dengan masyarakat seluruh dunia merayakan kejayaan tuan memenangi pilihanraya presiden yang bersejarah pada tahun 2008. Mengambil kata-kata pendahulu tuan, Presiden George W Bush, perjalanan tuan “melambangkan satu kemenangan dalam kisah perjuangan Amerika”.
Saya secara peribadi terkesan dan terdorong dengan ucapan kemenangan tuan di Chicago, “Jika ada di luar sana yang masih meragui bahawa Amerika adalah tempat di mana segalanya mungkin; yang masih tertanya-tanya adakah impian pengasas kita masih menyala pada zaman ini; yang masih mempersoalkan kuasa demokrasi, malam ini adalah jawapannya…pada detik penentuan ini, perubahan sudah berlaku di Amerika.”
Bererti, tuan tentunya ingat dan menghargai perjuangan kaum Afro-Amerika dalam sejarah AS demi kebebasan, keadilan dan kesamarataan. Artikel 1, Seksyen 2 perlembagaan pertama AS tahun 1787 menyatakan golongan kulit hitam sebagai “tiga per lima insan” (bukan insan sempurna). Dalam kes penting Dred Scott melawan Sandford (1857), Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa golongan kulit hitam, merdeka atau hamba, tidak boleh menjadi warganegara.
Sehingga selepas Perang Saudara dan pemansuhan perhambaan oleh Pindaan ke 13 dan 15 Perlembagaan Amerika Syarikat (1865) sekali pun, golongan pelampau kulit putih telah menggagalkan tujuan perubahan itu dengan menggunakan pelbagai strategi untuk meminggirkan warga kulit hitam. Penggagalan Perlembagaan AS malah disokong secara langsung mahu pun tidak langsung oleh Presiden dan ahli Kongres era itu, dengan menguatkuasakan pemisahan dan diskriminasi.
Hanya melalui usaha politik berterusan oleh gerakan hak sivil Afro-Amerika pada tahun 1950-an dan 60-an, yang mencapai kemuncaknya dalam Akta Hak Sivil 1964 dengan pengharaman diskriminasi berasaskan kaum, warna kulit, agama, jantina dan tempat asal, barulah dapat dihapuskan syarat pendaftaran pengundi yang tidak adil dan pemisahan kaum di sekolah, tempat kerja dan kemudahan awam.
Empat dekad kemudian, dunia menyaksikan pelantikan Presiden kulit hitam pertama AS. Kami dirangsang oleh kejayaan tuan dan kami merayakannya kerana di Malaysia, kami berhadapan dengan cabaran yang sama, dan kami masih bergelut untuk mengatasinya.
Kaum minoriti di negara ini didiskriminasi secara meluas dalam aspek politik, sosial dan ekonomi. Tiada seorang pun warga Malaysia mampu membayangkan kemungkinan bahawa seorang bukan-Melayu akan menjadi Perdana Menteri di negara ini. Isu kaum dan agama diperalatkan secara terang-terangan untuk mengukuhkan kuasa elit pemerintah.
Kebebasan sivil dikekang melalui pelbagai undang-undang kuku besi, dibantu oleh badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi parti saya, disabitkan atas kesalahan menghasut, hanya kerana beliau cuba menegakkan Perlembagaan Persekutuan. Malah kerajaan mahu memenjarakan beliau atas ‘kesalahan’ itu, walau pun beliau lumpuh separuh badan. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditindas secara politik dan dengan tidak adil, serta pernah dipenjarakan sebelum ini, pada tahun 1998. Malah saya sendiri mungkin bakal hilang kelayakan selaku Ahli Parlimen dan dipenjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah terbabit dalam “perhimpunan haram” sewaktu menyertai himpunan nyalaan lilin (candlelight vigil) yang aman.
Selain itu, kebebasan beragama dalam negara ini semakin hari semakin ditekan, dengan ekstremisme agama yang semakin menonjol. Malaysia adalah satu-satunya negara yang memutuskan kalimah ‘Allah’ sebagai hak eksklusif Muslim – pendirian yang disokong secara terbuka oleh Perdana Menteri kami, Datuk Seri Najib Razak. Bible berbahasa Melayu dirampas. Pihak Gereja kini didakwa di mahkamah, sementara pemimpin agama disiasat menurut akta hasutan.
Tuan Presiden, saya yakin, pegawai-pegawai diplomatik tuan tentunya telah memberi penerangan berhubung amalan korupsi yang berleluasa, serta salah guna kuasa oleh kerajaan kami untuk mengkayakan golongan elit berpengaruh dan kroni mereka.
53 peratus rakyat Malaysia telah mengundi untuk menukar kerajaan pada pilihanraya umum setahun lalu. Malangnya, disebabkan helah persempadanan pilihanraya (gerrymandering) yang meluas, manipulasi media dan juga amalan pilihanraya yang korup, cita-cita perubahan yang diimpikan rakyat biasa tidak tercapai.
Maka menjadi harapan kami bahawa tuan tidak cuma melawat negara ini semata-mata untuk mengukuhkan “perhubungan perdagangan”, suatu ungkapan berdiplomasi sebagai ganti bagi “keuntungan maksima” dan “keselamatan wilayah”.
Rakyat Malaysia berharap agar lawatan tuan ke negara ini boleh menjadi cahaya pemberi harapan dalam saat-saat sukar kini. Kami berharap tuan akan dapat berkongsi perjalanan peribadi tuan dan perjuangan para pemimpin agung Amerika melawan perkauman dan diskriminasi yang suatu masa lalu terlembaga di negara tuan, sehingga memungkinkan tuan untuk dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat – pemimpin dunia bebas.
Rakyat Malaysia juga mengimpikan tibanya hari di mana diskriminasi, peminggiran dan pemisahan mengikut kaum, agama, warna kulit, dan jantina menjadi peristiwa silam, supaya seluruh rakyat Malaysia diberikan layanan dan peluang yang sama rata.
Tuan Presiden, dengan penuh hormat, kami tidak mengharapkan tuan untuk datang ke sini bagi memberitahu kami bahawa negara ini adalah contoh cemerlang bagi kesederhanaan, kerana perkara itu tidak benar; atau untuk tuan memuji kerajaan kami bahawa ia adalah model masyarakat majmuk yang hidup aman dan harmoni, kerana ia topeng semata-mata.
Kami perlukan tuan, Tuan Presiden, untuk bercakap tentang nilai kemanusiaan yang sejagat, tentang prinsip-prinsip yang leluhur tuan tegakkan dengan darah dan keringat mereka. Kami ingin tuan bercakap tentang kepentingan hak asasi manusia, kesamarataan, kebebasan dan prinsip-prinsip asas demokrasi. Kami ingin tahu bahawa Presiden Amerika Syarikat masih lagi yakin dengan usaha mempertahankan dan mengembangkan kebebasan sivil di seluruh dunia – kebebasan yang memungkinkan tuan sendiri untuk berdiri di tempat tuan hari ini.
Kami berharap, Tuan Presiden, tuan akan meneruskan legasi salah seorang aktivis hak asasi paling disanjungi, Dr Martin Luther King, yang percaya kepada penentangan awam (civil disobedience) tanpa kekerasan. Tuan sendiri telah menonjolkan pencapaian beliau dalam ucapan ulangtahun ke-50 pidato ulung Dr King, November tahun lalu. Tuan menyebut ketika itu,
“Kita meyakini kebenaran ini sebagai hakikat, bahawa setiap insan diciptakan sama rata, bahawa mereka dianugerahkan oleh pencipta hak-hak yang tidak ternafikan, antaranya adalah hak untuk hidup, hak kebebasan dan hak untuk mengejar kebahagian.
…Kita secara wajar mengenang sebaik-baiknya pidato mengangkasa Dr. King hari itu, bagaimana gemuruh suara beliau memberikan harapan kepada jutaan manusia yang diam-diam berharap, bagaimana beliau telah menawarkan jalan penebusan kepada yang tertindas, juga kepada yang menindas. Kata-katanya merentasi zaman, memiliki kuasa dan daya ramalan tak tertanding pada zaman kita.
…Dan kerana mereka tetap mara, Amerika berubah. Kerana mereka mara, undang-undang hak sivil diluluskan. Kerana mereka mara, undang-undang hak mengundi ditandatangani. Kerana mereka mara, pintu-pintu peluang dan pendidikan terbuka agar anak-anak akhirnya dapat membayangkan kehidupan yang lain, melampaui kehidupan sebagai pembasuh baju dan pengilat kasut orang. Kerana mereka mara, anggota pihak berkuasa bandar, badan perundangan negeri, Kongres, dan, ya, akhirnya Rumah Putih bertukar. Kerana mereka mara, Amerika menjadi lebih bebas dan saksama…”
Kami rakyat Malaysia mengharapkan tuan akan berkongsi impian tuan dengan rakyat Malaysia dan seluruh warga dunia, seperti Dr King berkongsi impiannya dengan rakyat Amerika, dalam “pidato mengangkasa” itu, di mana beliau mengatakan;
“Saya ada impian, bahawa suatu hari nanti negara ini akan bangkit dan melaksanakan makna sebenar kata-kata yang menjadi pegangannya: ‘Kita meyakini kebenaran ini sebagai hakikat yang nyata: bahawa setiap insan diciptakan sama rata.’
Saya ada impian, bahawa suatu hari nanti di atas bukit merah Georgia, anak-anak bekas hamba dan anak-anak bekas pemilik hamba akan dapat duduk bersama di meja persaudaraan.
Saya ada impian, bahawa empat anak kecil saya suatu hari nanti hidup dalam sebuah negara yang tidak menilai mereka berdasarkan warna kulit, tetapi berdasarkan inti watak mereka.
Hari ini, saya ada impian.”
Tuan Presiden, rakyat Malaysia juga ada impian, dan kami berharap, dari lubuk hati kami, tuan akan berkongsi impian kami.
Terima kasih, Tuan Presiden. Kami berharap tuan akan menikmati layanan daripada kami rakyat Malaysia yang diakui sebagai pemberi layanan yang baik.
No comments:
Post a Comment