Tuesday, April 29, 2014

Banteras kegiatan subversif kumpulan penganut Kristian

JOHOR BAHRU 27 April - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa pihak berkuasa khususnya jabatan agama Islam negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membanteras kegiatan subversif oleh sekumpulan penganut Kristian yang cuba mempengaruhi anak muda Melayu untuk murtad.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, langkah secara agresif wajar dilakukan kerana kumpulan berkenaan menggunakan pelbagai strategi termasuk menyebarkan risalah ajaran Kristian dalam bahasa Melayu yang disifatkan sebagai taktik untuk mempengaruhi dan merosakkan akidah anak muda Melayu di negara ini.

"Selain risalah tersebut, turut membimbangkan adalah kewujudan gereja yang tumbuh bagaikan cendawan, di mana mereka menggunakan premis rumah kedai untuk dijadikan gereja secara berleluasa yang boleh dilihat di banyak taman perumahan.

"Sehubungan ini kami berharap pihak berkuasa khususnya jabatan agama negeri dan PBT terbabit menyemak semula status rumah kedai yang dijadikan gereja.

Kami percaya rumah ibadat itu dijadikan pusat beroperasi doktrin mubaligh Kristian di seluruh negara untuk mengembangkan agama mereka kepada umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan bantahan penyebaran risalah agama Kristian dalam bahasa Melayu kepada umat Islam di Taman Munsyi Ibrahim, di sini hari ini.

Yang turut serta dalam bantahan itu ialah Naib Dipertua 1 Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor, Mohd. Gouth Yusoff dan Ketua Penerangan Perkasa Johor, Rosli Othman.

Bantahan tersebut berikutan risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu berhubung undangan untuk menghadiri ceramah agama Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di beberapa kawasan di bandar raya ini termasuk di Taman Bukit Indah, Gelang Patah dan Nusajaya pada 13 dan 14 April serta semalam.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya mahukan pihak berwajib dan PBT tidak berkompromi dalam isu ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dan merupakan pencerobohan yang amat serius kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara (11) (4); bahawa dakyah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang.

"Oleh itu kami membantah dan memandang serius terhadap cubaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible dan apa juga upacara agama Kristian dalam Bahasa Melayu. Kerana motifnya adalah sebagai cubaan mempengaruhi orang Melayu agar menganut Kristian.

"Kalau boleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) senarai hitam orang Islam yang sudah murtad dengan mengeluarkan kad pengenalan baru yang tidak tercatat status agama dan secara automatik mereka tidak berhak mendapatkan apa juga keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu," katanya.


Gambar hiasan.

No comments:

Post a Comment