Meneliti dengan halus kedudukan bangsa Melayu seolah-olah semakin menggambarkan satu kaum yang sedang menderita sakit barah dan menunggu saat maut. Mungkin kenyataan ini keterlaluan, namun kita ingin jujur dan tidak berselindung. Walaupun berulang kali disahkan bahawa sudah ada pencapaian yang boleh dibanggakan namun yang nyata pada tubuh badan bangsa Melayu itu dipenuhi kudis-kudis yang masih belum boleh dirawati sehingga hari ini. Mungkin yang tinggal hanyalah beberapa bahagian dari tubuh itu yang masih tidak berkesan dengan kudis yang kian merebak. Demikianlah kita merenung dengan mendalam nasib bangsa Melayu ini.
Pada keseluruhannya tubuh manusia Melayu itu semacam tidak terdaya untuk pulih, kerana sakit kudis yang terus berulang. Sering juga ia terus berpenyakit kerana diagnosis yang salah dan rawatan yang silap. Lain yang sakit lain pula yang diubati.
Kita mengutarakan anologi ini kerana jika tidak ada proses pemulihan segera, survival bangsa Melayu ini pasti akan tamat usianya. Akhirnya Melayu itu sendiri akan pupus, atau menjadi bangsa yang “minoriti”, bukan dari segi jumlahnya, tetapi dari segi kualiti dan keberkesanan pengaruh dan kekuatannya sebagai satu bangsa. Melayu kini sudah melahirkan generasi muda yang hilang jati diri, Melayu yang lupa akan budaya dan tamadunnya selain hanya saki baki peninggalan datuk moyangnya yang bersifat kosmetik untuk kajian para ahli antropologi.
Sebahagian besar generasi Melayu muda kini dilihat sudah hilang akar budaya dan pengkalan hidupnya sebagai insan Muslim. Melayu yang sudah tidak lagi menghargai perjuangan bahasa dan tanah airnya sendiri.
Sesungguhnya telah berlaku kerosakan manusia Melayu itu dari dalam dan luar dirinya.
Cara berfikir dan nilai dirinya sekaligus semakin bercelaru. Tidak dapat dinafikan ketahanan diri Melayu semakin runtuh dan seolah-olah benteng agamanya sedang lerai sama sekali.
Bukanlah maksud kita untuk menafikan wujudnya pencapaian dan peningkatan sejak bangsa ini dikatakan mencapai kemerdekaan dari penjajah. Namun dengan berkembangnya krisis sosio-budaya, pemikiran, dan sosio-politik yang sangat meruncing ternyata tidak dapat dinagikan bahawa manusia Melayu perlu kepada agenda pemulihan yang menyeluruh.
Apa yang dapat diperhatikan ialah berlaku suatu keruntuhan yang tidak dapat diselindung lagi. Bagaikan asas-asas budaya Melayu yang memegang tapak bangunan bangsa sudah lemah mengakibatkan lapisan atas berbentuk manifestasi hidup seharian bangsa itu menunggu masa untuk runtuh persis fenomena tanah runtuh yang berlaku di mana-mana. Bukan sahaja soal akhlaknya yang telah luntur malah terdapat juga kelunturan dalam jati diri masyarakat Melayu itu sendiri.
Sesiapa yang masih menyatakan bahawa jati diri bangsa ini tetap utuh dan ketahanan dirinya masih kuat sebenarnya hanyalah membohongi diri sendiri.
MENGINSAFI DAN MENELITI REALITI KEMELUT BANGSA
Realiti bangsa Melayu kini ibarat wajah yang dilukis dengan coretan kabur yang serba kontradiktori. Sementara Melayu dikatakan sinonim dengan Islam namun berlaku juga perilaku Melayu yang amat berlawanan dengan sifat Islam itu sendiri.
Pada satu masa kita nampak mewarisi kesopanan dan kehalusan budi akan tetapi Melayu semakin dijangkiti budaya biadab dan liar.
Kita sering dikenali sebagai bangsa bermoral dan sensitif pada agama namun dalam masa yang sama kita juga sarat dengan kejelekan nilai dan kehodohan perilaku yang bersifat anti-agama.
Pada suatu ketika dahulu kita berbangga dengan sifat Melayu yang eksploratif dan berciri kepenerokaan namun kini kita juga menjadi bangsa yang terperangkap dengan budaya ciplak dan meniru. Sebagai permulaan mahu tidak mahu yang perlu segera dilakukan ialah memperbetulkan semula pemikiran dan nilai hidup orang Melayu.
Bangsa yang sedang menunjukkan tanda-tanda lunturnya pegangan hidup Islam yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya.
Sepintas lalu kita ingin mencatat secara ringkas beberapa penyakit yang sedang menimpa umat Melayu. Pembedahan untuk mencari punca penyakit perlu selanjutnya dilakukan oleh setiap tenaga penggerak yang komited untuk memulih masyarakat Melayu.
No comments:
Post a Comment