Apakah yang kita faham tentang istilah teknologi?
Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia, 2007).
Apakah hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi?
Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, iaitu berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Wikipedia, 2007). Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia.
Apakah pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)?
Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Strategi yang perlu dirancang ialah memperkukuhkan kekuatan bahasa secara dalaman yang telah terbina sekian lama. Masyarakat pengguna Bahasa Melayu perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima cabaran perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang dipengaruhi oleh bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris. Usaha untuk membentuk peristilahan Bahasa Melayu dalam bidang ini perlu lebih progresif dan terbuka dengan menerima penyerapan masuk kata-kata asing bagi pengayaan perbendaharaan kata Bahasa Melayu.
Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman yang mencabar dengan kedatangan unsur asing ke alam Melayu misalnya kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris. Evolusi Bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencorakkan bentuk masyarakat, struktur ekonominya dan persaingan sengit dalam pasaran antarabangsa. Kewujudan bahasa amat penting dalam konteks ini kerana bahasa merupakan sumber komunikasi yang penting. Bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia.
Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan Bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang kelihatannya jelas sekali mementingkan Bahasa Inggeris. Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa. Ini dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti),a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko(engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.
Keupayaan Bahasa Melayu bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penutur Bahasa Melayu itu sendiri menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Sikap masyarakat terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Ketidakyakinan terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa dalam kalangan penutur Bahasa Melayu mengakibatkan Bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Penutur Bahasa Melayu lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian Bahasa Melayu. Mereka menganggap Bahasa Melayu tidak setanding dengan Bahasa Inggeris dan akhirnya mula meminggirkan Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
Kita menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan ilmu yang datang dari luar. Konsep yang didukung oleh bidang ini tidak ditemui dalam dunia Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus berkiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini. Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa bagi dunia siber, malah kini kita dapati bahasa Arab dan Bahasa Mandarin mulai mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet. Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang cukup besar di dunia. Bak kata perumpamaan Melayu, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu helah”. Laman sesawang yang dibina oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa agar maklumat tersebar dalam Bahasa Melayu selain daripada Bahasa Inggeris. Sokongan yang berterusan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu berterusan, di samping pembinaan pangkalan data yang bersesuaian bagi pengembangan Bahasa Melayu. Dengan cara ini, bahasa ini mudah dicapai oleh pusat-pusat Pengajian Melayu di luar negara yang menggunakan Bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment