Thursday, November 13, 2014

mara rancang tubuh mrsm berbayar buat ibu bapa berkemampuan

MARA

KUALA LUMPUR, 13 Nov - Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar khusus untuk ibu bapa dan penjaga yang berkemampuan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ketika ini, MARA sedang mengkaji modul pembelajaran yang sesuai untuk diguna pakai dan dilaksanakan di dalam MRSM berbayar itu.

Katanya, sebaik sahaja kajian berkenaan selesai dilakukan, ia akan dibawa untuk pengetahuan dan makluman pihak berwajib termasuk Jemaah Menteri untuk kelulusan atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Nanta menjawab cadangan beberapa anggota parlimen ketika sesi perbahasan kementerian berkenaan yang meminta kewujudan MRSM berbayar itu berikutan terdapat permintaan tinggi di kalangan ibu bapa berkemampuan dan mempunyai anak yang cemerlang di dalam bidang akademik.

Ketika ini, MRSM sedia ada ditubuhkan dengan memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman, luar bandar dan kawasan bandar yang meliputi kawasan setinggan dan daif.

Sementara itu, menjawab pertanyaan dan cadangan kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC) yang baru, Nanta berkata tiada peruntukan disediakan kerajaan ketika ini.

Oleh itu, beliau berkata kementerian akan memperkasakan Mini RTC yang sedia ada ketika ini untuk meningkatkan sosio ekonomi penduduk luar bandar di samping mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian, kementerian tidak pernah meminggirkan dan mengabaikan penduduk di luar bandar termasuk di Sabah.

Katanya, ini kerana segala projek pembangunan dan kemajuan sentiasa dilaksanakan secara berperingkat walaupun perlu menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

"Kita sentiasa mohon supaya diluluskan semua projek tersenarai dari Unit Perancang Ekonomi termasuk untuk di Sabah. Kita harap pihak berkenaan mengambil perhatian tentang keperluan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment