Thursday, November 13, 2014

Halatuju sistem politik Turki selepas Pilihan Raya .?

Erdogan IRIS Institute


Pilihan Raya Presiden 2014 telah mencipta sejarah sebagai pilihan raya presiden pertama yang dibuat secara demokrasi, di mana sebelum ini pemilihan presiden hanya dibuat dengan pemilihan oleh ahli Parlimen Turki (Grand National Assembly). Pindaan perlembagaan pada tahun 2007 telah merubah sistem pilihan raya presiden yang telah menjadi satu lagi saluran bagi Turki menjayakan aspirasi demokrasi yang telus.

Di pihak Erdogan pula, tahun 2014 telah meletakkan beliau pada penggal ketiga mengetuai kerajaan AKP. Kebiasaannya seorang perdana menteri hanya mendapat mandat daripada rakyat untuk 3 penggal sahaja sebelum beliau hilang populariti.

Pelantikan Erdogan sebagai calon Presiden oleh AKP adalah untuk memastikan Erdogan terus meneraju Turki. Untuk memastikan gagasan agenda dan visi Turki moden dan maju pada tahun 2023 yang diasaskannya, Erdogan perlulah kekal di dalam kerajaan politik Turki dan hanya satu sahaja solusi terbaik, iaitu dengan menjadi Presiden Republik Turki.

Terdapat beberapa kebarangkalian yang bakal terjadi sekiranya Erdogan berjaya merebut jawatan Presiden dan kemungkinan yang paling besar adalah beliau bakal cenderung kepada de jure presidential system, yang mana Presiden mempunyai kuasa penuh dalam legislatif dan eksekutif, bahkan juga judisiari serta ketenteraan. Hal ini pastinya memerlukan kepada pindaan perlembagaan. Mengikut keadaan semasa, AKP mempunyai 313 kerusi di Parlimen, untuk majoriti 2/3 AKP memerlukan sekurang-kurangnya 330 kerusi. Walaupun kurang 17 kerusi untuk meminda perlembagaan, AKP masih mempunyai kelebihan apabila parti ini telah mengemukakan cadangan baru bagi sistem pilihan raya di mana telah dikecilkan kawasan parlimen. Pilihan raya parlimen yang dijangka berlangsung pada tahun 2015 juga boleh diawalkan oleh parti pemerintah untuk menjayakan rancangan ini.

Seterusnya, kemungkinan kedua pula adalah jawatan Perdana Menteri masih lagi dikekalkan namun jawatan ini pastinya akan disandang oleh figura-figura AKP loyalist ataupun yang setia kepada Erdogan dan perkara ini samalah seperti boneka kepada Presiden Putin, iaitu Perdana Menteri Russia, Dmitri Medvedev. Pemilihan seorang yang sama aspirasi dengan Erdogan sangat penting bagi memastikan agenda Islamisasi AKP berjalan lancar dan nama yang menjadi sebutan adalah Menteri luar Turki, Ahmet Davutoglu dan juga Numan Kurtulmus. Erdogan bakal menjadi de facto kepada Perdana Menteri di mana beliau yang mempunyai kuasa sebenar.

Kedua-dua kemungkinan ini sebenarnya memberikan kelebihan kepada Islamis di Turki untuk merealisasikan agenda Islam di sana. Jika Erdogan menjadi Presiden yang mempunyai absolute power, beliau boleh mentransformasikan ketenteraan dan juga institusi kehakiman, dan pastinya beliau akan meletakkan Islamis di posisi tersebut seterusnya akan melemahkan kubu sekular di dalam junta tentera dan juga menghilangkan pengaruh Gulenis di dalam institusi kehakiman.

Manakala untuk kelompok Gulenis pula, saya berpendapat mereka seharusnya kembali mendukung aspirasi Erdogan. Perseteruan antara pemimpin Islam ini harus segera ditamatkan dan bersama-sama terlibat dalam membangunkan Turki yang lebih maju dan disegani oleh dunia.

No comments:

Post a Comment