Beliau berkata, perkara pertama yang dipersetujui adalah perlunya pelan pemulihan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi permasalahan di kawasan tanah tinggi tersebut.

“Kita telah bincang dalam Kabinet dan bersetuju meluluskan dua perkara yang merangkumi pelan jangka pendek dan panjang untuk pulihkan Cameron Highlands.

“Untuk menyediakan pelan itu, Kabinet menugaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menubuhkan jawatankuasa bersama bagi meneliti perkara ini,” 


Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan semasa tentang isu banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2014 di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.


Dalam kejadian banjir kilat di tanah tinggi itu baru-baru ini, lima orang terkorban manakala lima lagi cedera selain menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan.


Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan air Empangan Sultan Abu Bakar terpaksa dilepaskan secara peringkat-peringkat turut dikaitkan dengan penerokaan tanah secara haram termasuk oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).


Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusif baru-baru ini membongkar isu PATI khususnya warga Bangladesh yang membanjiri kawasan tanah tinggi tersebut.


Menurut Najib, pelan kedua yang diluluskan Kabinet pula merangkumi tindakan agensi-agensi berkaitan untuk menguatkuasakan undang-undang lebih tegas dan berkesan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.


“Kalau ada mereka yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Apabila tidak ada penguatkuasaan kita tidak memberi isyarat yang betul, seolah-olah tiada siapa yang takut pada undang-undang,” katanya.