Wednesday, March 11, 2015

Buang buanglah sikap pentingkan diri sendiri

Pentingkan diri dan menganggap diri kita sebagai perhatian akan melukakan hati orang lain terutama mereka di sekeliling kita. Perasaan ini sebenarnya berpunca kerana kita inginkan perhatian dari orang sekeliling ataupun ia adalah sikap kita yang memang tidak menghargai orang lain.

Kebiasaannya sikap pentingkan diri sendiri akan lebih serius apabila orang sekeliling sudah mula perasan dan mengambil langkah untuk menjauhkan diri. Tidak semua orang boleh menerima kita sepenuhnya dan mengambil baik dan buruk sikap kita sebagai satu pertimbangan. 

Kalau kekasih pun sanggup meninggalkan pasangannya hanya kerana sikap pentingkan diri sendiri, apatah lagi di kalangan kawan-kawan yang mungkin menganggap sikap kamu itu terlalu melampau dan sepatutnya dijauhkan saja. Bukankah kita yang rugi?

Hilang kawan dan lama-kelamaan kita akan duduk sendirian atas sikap buruk yang terlalu pentingkan diri dan tidak langsung mengendahkan perasaan orang lain.

Justeru apa kata kita cari jalan untuk sekurang-kurangnya mengubah sikap ini perlahan-lahan dan kalau boleh buang untuk tidak terus dihimpit kebencian orang sekeliling.

Pertama sekali, apa kata kita letakkan diri di tempat dan situasi mereka. Sikap kamu yang pentingkan diri itu kadangkala menyebabkan orang lain tersinggung. Mungkin ada sesetengah tidak perasan, tapi mengikut kajian dan pemerhatian, lebih 90 peratus dari sikap pentingkan diri itu sudah tentu akan mengundang rasa tidak selesa kepada pihak lain.

Justeru, apa kata cuba letakkan diri kamu di tempat dan situasi mereka. Pasti kamu merasai apa yang mereka berdepan dengan sikap buruk kamu. Setidak-tidaknya kamu boleh memahami perasaan mereka kerana sanggup menghadapi sikap mementingkan diri kamu.

Contohnya apabila sebelum ini kita sering meninggalkan semua orang di sekeliling dengan satu keputusan yang kita buat sendiri tanpa bertanya bagaimana perasaan mereka. Tempat makan, restoran pilihan, destinasi percutian atau apa saja, semuanya hanya kamu saja yang membuat keputusan. 

Bagaimana dengan keputusan kawan lain? 

Keduanya, apa kata kita pertimbangkan kehendak orang lain pula. Kebiasaannya, individu yang mementingkan diri ini biasanya meletakkan diri mereka di tempat pertama. Tanpa memikirkan perasaan dan keadaan seseorang yang lain, mereka hanya menjadikan diri mereka sendiri sebagai keutamaan.

Jadi kali ini cuba letakkan kehendak orang lain di hadapan. Contohnya, selama ini hanya kamu yang meminta dibelanja macam-macam. Kali ini tanya pula apa mereka mahu dan cuba balas jasa mereka pada kamu selama ini. Jika dia asyik mengikut telunjuk kamu, cuba pula ikut apa yang dia mahukan.

Percayalah, persahabatan dan hubungan kamu dengan kawan-kawan atau sesiapa saja akan menjadi lebih sihat dan dihormati kerana kamu tidak jenis hanya meletak fokus pada diri kamu sebaliknya menjadikan semua orang penting dan mempunyai peranan untuk membuat keputusan.

Paling seronok sebelum kamu dan teman-teman membuat keputusan untuk menonton wayang atau memilih restoran untuk makan, apa kata bersembang dan berkongsi pendapat daripada hanya satu pihak saja yang membuat keputusan.

Ketiga pula, apa kata kita berhenti ambil kesempatan kerana individu yang mementingkan diri biasanya kerap menggunakan perkhidmatan atau jasa baik orang lain untuk kegunaan peribadi. Contohnya, kamu selalu meminta kawan belanja, selalu mengharapkan bantuan orang lain tapi apabila mereka memerlukan bantuan, kamu tidak hirau dan berlagak seperti tiada apa berlaku. 

Ini adalah sifat dan sikap kebiasaan mereka yang mementingkan diri sendiri. Kalau mereka susah, bukan main kata-kata dan pujukannya, tapi kalau orang lain baru sekali meminta bantuan atau memberi 'hint' untuk meminta bantuan, macam-macam alasan yang diberikan untuk mengelak. 

Seboleh-bolehnya mereka akan cuba mengelak dan memberi alasan untuk tidak membantu. Paling tidak faham, bagaimana mereka boleh mempunyai perasaan kering dan keras seperti itu untuk tidak menghulurkan sebarang bantuan. 

Situasi kebiasaan, orang yang pentingkan diri sendiri adalah mereka yang langsung tidak membawa hadiah atau cenderahati kepada teman-teman di majlis hari jadi atau apa saja majlis yang diraikan bersama. 

Malah mereka juga adalah jenis yang tidak akan mengeluarkan duit ketika makan bersama dan gemar memberikan pelbagai alasan seperti duit belum keluar dari bank, beg duit atau dompet tertinggal dan macam-macam lagi. 

Itulah sikap paling perlu dihindari dan jangan kerana sikap remeh ini akan memberikan kamu seribu satu persepsi negatif di kalangan kawan-kawan. 

Mungkin selepas ini kamu perlu pertimbangkan persahabatan dua hala kerana lambat laun mereka akan meninggalkan kamu.

Keempat, kali ini kita cuba pula untuk menjadi pendengar yang baik. Remaja yang pentingkan diri biasanya memiliki kemahiran mendengar yang kurang. Kamu bercadang untuk berhenti dan ubah sikap buruk itu. Oleh itu, perkara yang perlu dilakukan ialah mendengar apa kata atau luahan orang lain kepada kamu.

Mendengar bermaksud menganalisa, memahami dan berupaya memberikan pendapat mengenai topik itu.

Individu yang pentingkan diri sendiri selalunya hanya ingin orang sekeliling saja mendengar ceritanya. Kalau bersembang bersama atau duduk melepak, hanya dia saja yang tidak henti bercerita mengenai pengalamannya, kisah sedih dan gembiranya dan macam-macam lagi.Tapi bila orang lain punya cerita, langsung tidak diendahkan.

Kalau si pentingkan diri berdepan masalah, baik cinta mahupun konflik diri di tempat kerja, keluarga ataupun peribadi, mulalah semua kawan-kawan digesa untuk memberikan pendapat.

Tapi bayangkan apabila kawan lain pula berdepan masalah, banyak sangat alasannya untuk tidak membantu atau memberi motivasi kepada kawan. 

Kalau ada pun nasihat yang diberikan, semuanya seperti menjatuhkan semangat dan keyakinan kawan yang bermasalah itu. Bukan membantu sebaliknya lagi menjatuhkan seseorang itu.

Terakhir sekali, apa kata kita cuba untuk membiarkan mereka pula putuskan sesuatu keputusan. Sebelum ini mungkin kamu yang selalu membuat keputusan untuk pergi ke mana mana atau membuat pelan bagi aktiviti hujung minggu. Apa kata kali ini biarkan mereka pula yang bagi cadangan. Mungkin kamu dapat melakukan aktiviti baru yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Seperti kerambit sarankan pada langkah pertama dan kedua tadi, kali ini kamu perlu lebih peka dan prihatin terhadap nasihat kawan-kawan kamu dan tidak hanya mengikut diri sendiri saja. Ini paling perlu diambil serius bagi memastikan kamu tidak lagi seperti dulu. 

Kerambit cukup  percaya jika kamu cuba lakukan setiap satu langkah ini, kerambit sendiri yakin masalah kamu dapat diselesaikan. Paling tidak, orang sekeliling nampak perubahan yang ada pada kamu. Cubalah!

Solidariti itu lebih penting dari kita mementingkan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment