Tuesday, March 10, 2015

1MDB Beri ruang kepada Jabatan Audit Negara laksana tugas

Semua pihak perlu berhenti membuat sebarang andaian, sebaliknya memberi ruang secukupnya kepada Jabatan Audit Negara (JAN) untuk melaksanakan audit terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed, berkata pihaknya menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap kewibawaan, keupayaan dan kredibiliti JAN di bawah pimpinan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang untuk melakukan pengauditan secara berkecuali, telus dan bertanggungjawab, lapor Bernama.

“JAN perlu diberikan ruang secukupnya bagi melaksanakan audit terhadap 1MDB dan ia perlu dilakukan tanpa sebarang rasa takut atau ada campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, berikutan terlalu banyak andaian dan maklumat yang disebarkan mengenai akaun 1MDB di media sosial, portal berita dan blog, adalah lebih baik supaya semua pihak berkepentingan agar bersabar dan menunggu kesahihan hasil pengauditan daripada JAN.

Beliau berkata, penting untuk JAN menjalankan pengauditan secara tidak tergesa-gesa dalam memastikan setiap sudut dan ruang lingkup akaun, operasi dan pelaburan 1MDB diaudit dengan teliti.

“PAC juga akan mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik menerima laporan daripada JAN sekiranya wujud penyelewengan yang boleh didakwa mengikut undang-undang SPRM,” katanya.


No comments:

Post a Comment