Tuesday, April 29, 2014

Johor punya cerita...!!!!

PAGOH 29 April - Kira-kira 190 Sekolah Agama Rakyat (SAR) sedang dalam pembinaan di seluruh negeri dengan kos kira-kira RM260 juta yang dijadualkan siap menjelang 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, ketika ini sekolah-sekolah terbabit menumpang di sekolah kebangsaan yang tidak menggunakan bilik darjah pada sebelah petang termasuk di bangunan awam lain.

“Apabila siap nanti, kita akan mempunyai 557 SAR yang mempunyai bangunan sendiri dan semuanya di-letakkan di bawah tadbir urus kerajaan negeri. Ini memberi keselesaan kepada murid-murid yang sekian lama menantikan bangunan sendiri.

“Kita tidak akan lagi berkongsi bilik darjah dengan sekolah kebangsaan selepas ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Praperkahwinan Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar di sini kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh dan Ketua Puteri UMNO negeri, Rohaizah Ahmad.

Abd. Mutalip berkata, jumlah SAR itu adalah mencukupi untuk menampung murid-murid ketika ini tetapi apabila taman-taman perumahan baharu yang majoriti dihuni umat Islam dibuka, sekolah baharu akan dibina lagi bagi memastikan kanak-kanak Islam mendapat pendidikan agama yang teratur dan sempurna.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegur program realiti televisyen yang berkonsepkan mencari jodoh kerana dilihat tidak membantu bakal pengantin dalam kalangan golongan tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

Beliau berkata, matlamat penerbitan program itu wajar dipersoalkan dan sepatutnya pasangan kurang berkemampuan dibantu, bukannya peserta yang sememang kaya dan tidak memerlukan bantuan berkenaan.

Sementara itu, Rohaizah

Ahmad mencadangkan supaya kursus anjuran UMNO Bahagian Pagoh dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Muar itu diperluaskan ke peringkat negeri supaya lebih ramai dapat menyertainya.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh berkata, program itu bertujuan meringankan beban pasangan pengantin kerana hanya RM50 dikenakan berbanding RM150 oleh pihak swasta.

No comments:

Post a Comment